Satu lawan satu antara BN dan PAS dalam PRK Dewan
Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.
Calon BN Dr. Ahmad Sohaimi Lazim merupakan bekas bekas
Pensyarah Kanan Universiti Perguruan Sultan Idris, manakala PAS memilih
Penolong Kanan Sekolah Agama An-Nahdzah, Mohd. Azam Abdul Samat sebagai calon.
Dr. Ahmad Sohaimi, 52 memiliki ijazah falsafah pengajian
Malaysia (Tamadun Asia-Jepun) menyerahkan borang pencalonan kira-kira pukul
9.04 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Datuk Madi sambil diiringi Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz
Mahathir dan pemimpin-pemimpin BN serta lebih 5,000 penyokong BN.
Turut hadir tiga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad
Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein,
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda, Khairy
Jamaluddin dan Ketua Puteri, Mas Ermieyati Samsuddin.
Sementara itu, Mohd. Azam, 37 yang memiliki ijazah Sarjana
Muda Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar menyerahkan borang pencalonan pada
pukul 9.05 pagi. Beliau tiba pada pukul 8.30 pagi dengan diiringi Presiden PAS,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin
Ayub.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Sungai Limau, Abdul
Rashid Othman mengumumkan pada pukul 10.30 pagi, kedua-dua calon itu layak
untuk bertanding bagi mengisi kekosongan di kerusi tersebut berikutan kematian
penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September lalu.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Azizan mempertahankan
kerusi tersebut yang disandang Allahyarham sejak 1995 dengan majoriti 2,774
undi untuk menewaskan calon BN, Mohd. Fadillah Mohd. Ali dan dua calon Bebas.
0 comments:
Post a Comment