Kenapa sebilangan rakyat Malaysia sanggup bersekongkol
dengan komunis demi survival politik sesetengah pemimpin parti politik yang
berhaluan kiri? Mungkin ada sebilangan pemimpin berhaluan kiri ini tidak pernah
hidup di zaman keganasan komunis yang banyak mengorbankan rakyat dan pejuang
negara.
Bagi beberapa bekas pejuang negara yang pernah menentang
dan memerangi komunis, pastinya kekejaman komunis tidak pernah dilupakan bahkan
cerita itu sentiasa tersebar sehingga ke anak cucu cicit mereka.
Selepas Rejimen Ke-10 yang dianggotai oleh orang Melayu
ditubuhkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) pada 21 Mei 1949, sayap bersenjata
PKM itu terus diberi tugas pertama untuk melancarkan serangan hendap ke atas
pasukan keselamatan Tanah Melayu.
Rejimen Ke-10 PKM ditubuhkan pada satu pertemuan sulit
di dalam hutan Kerdau, Pahang yang dihadiri Chin Peng. Turut hadir pada
pertemuan sulit itu ialah beberapa pemimpin Melayu termasuk Haji Hashim,
Abdullah CD, Musa Ahmad dan Wahi Annuar.
Dalam pertemuan sulit itu, Chin Peng menyatakan bahawa
PKM perlu menubuhkan sebuah rejimen Melayu bagi meneruskan pemberontakannya,
selain untuk menunjukkan bahawa PKM adalah sebuah parti berbilang kaum.
Chin Peng juga menyatakan bahawa rejimen itu tidak
mempunyai kelengkapan senjata mencukupi dan mereka perlu mendapatkan senjata
sendiri.
Maka serangan hendap itu dilancarkan bertujuan
mendapatkan bekalan senjata bagi keperluan Rejimen Ke-10.
Pada 5 Ogos 1949, PKM menerusi lima platun Rejimen
Ke-10 melancarkan serangan hendap itu ke atas konvoi polis di Batu 13, Jalan
Chenor, Pahang.
Dalam buku Memoir Abdullah CD Bahagian Kedua, beliau
pernah menceritakan tentang kejadian itu:
''Rupa bumi di situ agak baik terletak di suatu
selekoh. Kereta-kereta terpaksa mengurangkan kelajuan apabila sampai di sini.
Saya mengatur barisan hendapan lebih kurang sebagai berikut: Platun 1
dipimpin Mat Jelita menghendap di barisan hadapan, dilengkapi dengan selaras
breengun. Platun 2 diketuai Johan menghendap di suatu jurusan sebagai penembak
utama, juga dilengkapi dengan selaras breengun. Platun 4 diketuai Hasan
menghendap di tengah yang merupakan sudut lereng.
Naib Ketua Platun Rosli memimpin satu regu menghendap
di jalan menghala Temerloh untuk menghadang bantuan dan satu seksyen lagi menghendap
di jalan menghala Paya Pasir, juga untuk menghadang bantuan. Saya memilih
kedudukan bersama dengan Platun 1, berhampiran dengan penembak breengun.
SERANG HENDAP
Kami tidak mengetahui secara tepat pasukan keselamatan
akan melalui jalan itu. Tapi melalui penyiasatan kami, pasukan keselamatan
sentiasa melalui jalan tersebut. Lebih-lebih lagi penjajah British sedang
membina sebuah balai polis baru di Kampung Paya Pasir untuk memperhebat
kawalan.
Tidak lama selepas PKM mengatur barisan serangan
hendap, tiga buah trak askar dan polis berkekuatan kira-kira 1 platun yang
dipimpin pegawai British melalui jalan tersebut. Sebaik-baik sahaja tiga
kenderaan itu muncul, tembakan serentak segera dimuntahkan.
Kedua-dua kereta tersebut terhenti, salah sebuah
terbabas ke dalam parit di tebing yang tinggi di hadapan Platun 4. Sejumlah
askar dan polis luka atau mati dalam rangkaian tembakan pertama itu. Mana
yang masih hidup melompat turun dari kereta melepaskan tembakan balas.
Pertempuran sengit berlaku. Saya mengeluarkan seruan
supaya pasukan keselamatan menyerah diri. Selepas seruan saya itu, saya
nampak seorang polis mengambil beg pegawainya (mungkin berisikan wang atau
dokumen penting) dan cabut lari dengan sekuat-kuatnya. Beberapa laras
senapang ditembak ke arahnya, tapi tak kena.
Walaupun ramai anggota keselamatan sudah bergelimpangan
atau menyerah diri, tapi pertempuran tak dapat ditamatkan. Seorang polis
berpangkat sarjan yang berlindung di sebalik kereta yang tersenget ke dalam
parit melakukan perlawanan. Di belakangnya tebing yang tinggi. Kedudukannya
amat menyusahkan kami menembaknya. Saya arahkan kawan-kawan buang bom tangan.
Beberapa biji bom tangan dilemparkan, tetapi tidak dapat membunuhnya.
Sehingga sejam lebih bertempur dan kawan-kawan menyerbu ke jalan raya barulah
dia mengangkat tangan menyerah diri. Demikianlah pertempuran ditamatkan.
Ketika kami merampas senjata sarjan tersebut didapati pistolnya sudah
kehabisan peluru.
Beberapa kawan yang tak sabar memakinya dengan
mengatakan "kamu mahu mati bersama orang putih".
Dalam pertempuran itu 11 orang anggota keselamatan
ditembak mati termasuk pegawai British dan menawan 17 orang. Di antara 17
orang yang ditawan itu 14 orang di antaranya tercedera. Kami berjaya merampas
22 laras senapang, antaranya sepucuk breengun, 4 pucuk steengun, 2 pucuk
pistol dan 5,000 biji berbagai jenis peluru serta sejumlah dokumen. Kereta
pasukan keselamatan itu telah kami bakar. Breengun yang dirampas dalam
pertempuran itu masih tersimpan di muzium kami sebagai kenangan sejarah.
Ketika dirampas breengun itu diisi dalam kotak, menandakan senjata itu belum
dipakai lagi.
Selain serangan hendap ke atas pasukan keselamatan, PKM
turut terlibat dalam pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu,
Sir Henry Gurney pada 6 Oktober 1951.
Pada hari itu, Sir Henry Gurney bersama Lady Gurney dan
Setiausaha Sulit beliau, D.J Staples bertolak dari Kuala Lumpur ke Bukit
Fraser pada pukul 10.45 pagi. Mereka menaiki sebuah Rolls Royce, kenderaan
rasmi beliau, diiringi pasukan polis yang menaiki sebuah Range Rover.
Setibanya di selekoh di sebatang jalan antara Kuala
Kubu Bharu-Pahang yang dikenali sebagai The Gap, kira-kira pukul 1 petang,
mereka telah diserang hendap.
KEJAM
Sebaik-baik sahaja mereka dihujani peluru, Sir Henry
Gurney bertindak keluar dari kereta, cuba mencari arah tembakan dilepaskan,
beberapa saat kemudian beliau sendiri menjadi mangsa peluru yang dilepaskan
oleh pengganas komunis yang bersembunyi di sebalik rimbunan hutan hijau di
sekitar kawasan tersebut.
Menurut keterangan polis bantuan yang tiba di tempat
kejadian, selepas keadaan tenang, pemandu Sir Henry Gurney ditemui meniarap
di sisi kereta Rolls Royce dengan kecederaan di kepala dan kaki, sementara
Sir Henry Gurney yang keluar dari kereta ditemui tertiarap tidak bernyawa di
dalam longkang berhampiran kereta beliau.
Lady Gurney dan D.J Staples ditemui selamat dalam
kereta berkenaan tanpa sebarang kecederaan, sementara tujuh orang konstabel
polis dari pasukan pengiring ditemui cedera.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu
sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur. Hasil bedah siasat mendapati Sir
Henry Gurney menemui ajal akibat kecederaan parah di kepala, sebutir peluru
telah dikeluarkan dari jasad Pesuruhjaya Tinggi British itu.
Perancang Pembunuhan Henry Gurney, dikenali sebagai Siu
Mah akhirnya dibunuh selepas lapan tahun diburu pihak berkuasa.
Siu Mah yang dilantik sebagai komander PKM bersama
pasukannya telah bergerak dari Johor ke Pahang dengan misi menimbulkan kekacauan
di negeri tersebut. Antara keganasan yang dilakukan adalah serangan ke atas
kenderaan yang membawa Pegawai Daerah Bentong, A. D. Stutchbury.
Dalam kejadian tersebut, isteri pegawai daerah
berkenaan bersama seorang penterjemah telah ditawan, sementara Stutchbury
bersama seorang lagi pembantu dapat meloloskan diri.
Isteri Stutcbury dan penterjemah itu kemudiannya
dilaporkan telah dibunuh atas arahan Siu Mah.
Kekejaman PKM bukan setakat membunuh pegawai pegawai
kerajaan Tanah Melayu dan orang awam, tetapi turut melibatkan anggota PKM
sendiri.
Selama ini dilaporkan seorang pemimpin wanita PKM,
Shamsiah Fakeh dikatakan pernah membunuh anak kecilnya sendiri di dalam hutan
bagi mengelak ditahan dan melambatkan pergerakan anggota Rejimen Ke-10 yang
diburu pasukan keselamatan.
Tetapi cerita yang sebenarnya adalah bayinya yang
ketika itu baru dilahirkan dibunuh oleh anggota PKM sendiri tanpa pengetahuan
Shamsiah kerana bimbang tangisan bayi itu akan menyebabkan kehadiran komunis
di kawasan itu diketahui oleh pasukan keselamatan.
Bekas Pengerusi PKM, Musa Ahmad semasa wawancara di RTM
pada 1981 menyatakan bahawa Shamsiah telah mencampakkan sendiri anaknya ke
sungai. Dan dalam Utusan Malaysia pada 1987, seorang yang mengaku sebagai
bekas teman sekolahnya menyatakan bahawa Shamsiah telah menghempaskan anaknya
ke batu setelah mengetahui suaminya menyerah diri kepada polis. Shamsiah
menafikan kedua-dua cerita tersebut.
Sumber: Utusan Online
|
Apakah rakyat Malaysia yang kini dikatakan bijak pandai
boleh diperbodohkan oleh sebilangan pemimpin politik berhaluan kiri hanya
dengan mengatakan komunis itu pejuang kemerdekaan negara? Ingatlah bahawa fakta
sejarah tidak pernah dibohongi
sebaliknya manusia yang bersifat rakus sahaja yang sanggup
memutarbelitkan fakta sejarah.
0 comments:
Post a Comment