Wednesday, October 2, 2013


Kenyataan terburu-buru kebanyakan pemimpin politik di Malaysia berhubung sumbangan dan peranan komunis yang diterajui Chin Peng bersifat kepentingan politik semata-mata tanpa memikirkan sikap kemanusiaan yang telah berlaku ke atas ahli keluarga dan rakan-rakan yang telah terkorban dalam semasa zaman komunis.

Jangan hanya kerana kepentingan politik maka rakyat dan bekas-bekas tentera dan polis yang telah terkorban dan cacat anggota badan disebabkan kerakusan dan keganasan komunis menjadi mangsa keadaan.

Berdasarkan catatan di bawah hasil tulisan pendakwah terkenal Prof Madya Dr. Ridhuan Tee Abdullah dijangka dapat menyedarkan pemahaman bekas Menteri Besar Selangor yang telah mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan fakta sejarah.


KENYATAAN bekas Menteri Besar Selangor yang mengatakan gambaran salah dilakukan oleh beberapa media tertentu, mengenai mendiang Chin Peng dan gerakan komunis di Malaysia perlu diberikan perhatian.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata, media tersebut menyelewengkan kebenaran dan menakut-nakutkan rakyat dengan melabelkan Chin Peng dan komunis sebagai musuh negara.

Katanya, “memang betul ramai orang Melayu mati semasa penjajahan komunis tetapi lebih ramai yang mati semasa pemerintahan Jepun”.

Pendapat ini bercanggah dengan fakta ilmu dan akademik. Sepanjang pembelajaran dan kajian saya, berlatar belakangkan sejarah dan politik, ketika kependudukan Jepun selama hampir 4 tahun, yang menjadi mangsa adalah orang Cina, bukan orang Melayu, dari segi peratusan bilangan penduduk ketika itu.

Orang Jepun amat memusuhi orang Cina. Begitu juga Cina terhadap Jepun. Permusuhan dan dendam tidak berkesudahan. Berasaskan sejarah, Jepun bermusuh dengan negara China sejak dahulu lagi. Kedua negara ini pernah berperang antara 1895 dan 1937.

Apabila Jepun berjaya menduduki Tanah Melayu pada 1941-1945, kesempatan digunakan untuk membalas dendam kepada orang Cina. Orang Cina berada dalam ketakutan. Jepun tidak teragak-agak untuk membunuh dan menyeksa orang Cina yang ditemui.

Jepun turut mahukan orang Melayu memusuhi Cina, walaupun Melayu tidaklah bersifat sedemikian. Untuk menjayakan misi itu, Jepun berbaik-baik dengan Melayu. Ramai Melayu dilantik menjadi polis dan pengintip.

Orang Melayu diminta memberi maklumat  kedudukan dan pergerakan orang Cina. Pendek kata, tidak ramai orang Melayu dibunuh atau dianiaya oleh Jepun.

Isu hubungan dua hala antara Malaysia-China, bukanlah bermakna kita mengiktiraf komunis. Dari hubungan diplomatik dan ekonomi, tidak salah kita mengadakan hubungan dengan negara komunis termasuk Rusia, Korea Selatan dan sebagainya. Kita tidak akan menjadi komunis dengan hubungan ini.

Fakta mengatakan China banyak memberi bantuan kepada PKM turut boleh dipertikaikan. Sebenarnya tidak banyak bantuan  diterima daripada PKM daripada komunis China.

Ini kerana, mereka yang berhijrah ke negara lain sudah tidak diiktiraf dan diterima untuk kembali semula ke China. Negara China juga pada ketika itu dalam kesusahan. Bagaimana komunis China boleh bantu PKM dengan begitu banyak?

Tanya orang Cina pada hari ini, adakah mereka mahu kembali ke China. Semua tidak mahu. Sekadar melawat China bolehlah. Malah ramai rakyat China ingin menjadi warganegara Malaysia.

Kata bekas menteri besar itu lagi: “Kita harus anti Jepun dan British lebih besar lagi. Mereka bunuh orang Melayu lebih ramai daripada komunis. Kekejaman British juga tidak boleh dipandang enteng setelah Tok Janggut mati digantung di Kelantan dan Tok Bahaman dibunuh di Pahang”. Kempen menentang penjajah British dan Jepun perlu lebih hebat”.

Selaku seorang negarawan, saya amat berharap bekas menteri besar itu tidak keluar kenyataan  menyakitkan rakan-rakan seperjuangan beliau sebelum ini.

Membandingkan penjajahan British yang begitu lama dengan kependudukan Jepun (bukan penjajahan) yang pendek adalah ultra kiasu.

Cubalah fahami perancangan licik ultra kiasu daripada memusuhi rakan seperjuangan dahulu. Apakah kita tidak nampak seluruh ultra kiasu bersatu hati apabila kepentingan dan identiti mereka tercabar dan dicabar. Mereka akan mencari seribu satu macam alasan untuk menjustifikasikan tindakannya seolah-olah nampak betul dan mempunyai bukti.

Pada saya komunis tetap komunis. Tidakkah kita bersimpati dengan mereka yang menjadi mangsa komunis seperti ribuan anggota polis dan tentera serta ahli keluarga terkorban dan cacat, akibat keganasan komunis sebelum berjaya dibanteras sepenuhnya?

Apakah kita sudah lupa jerangkap samar dipasang  komunis di dalam hutan serta kampung-kampung Melayu yang dibakar komunis?

Pada saya, sama ada Chin Peng disemadi di sini atau tidak, bukan isu. Sama juga kedudukan Dr Azhar dan Nordin Mat Top. Dalam Islam, apabila matinya anak Adam maka terputuslah amalannya, kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu dimanfaatkan dan doa daripada anak-anak soleh.

Sebab itu kita tidak kisah ada tanda kubur (abu) atau tidak. Dahulu, ketika menunaikan haji menggunakan kapal, jika ada jemaah  meninggal, ia akan dihanyutkan ke dalam laut. Begitu juga mereka yang meninggal ketika tunai haji. Rohnya sudah kembali kepada ALLAH. Jasad sudah tidak penting lagi ketika itu.



p/s: Dalam artikel sebenar, Sinar Harian telah GAGAL meletakkan perkataan Selangor ke atas ayat bekas menteri besar... yang sebenarnya mengikut pendapat penulis blog sebagai bekas Menteri Besar Selangor.

0 comments:

Post a Comment

POPULAR ARTIKEL