Bekas-bekas tentera akan sedia berkorban dan berjuang
semula bagi mempertahankan kedaulatan negara, terutama terhadap pihak yang
ingin menghidupkan semula fahaman komunisme di negara ini.
Ketua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan
Sibu, Thomas Ling Kui Eng berkata, bekas-bekas tentera sedia berjuang kembali
bagi mempertahankan negara daripada ancaman anasir komunis dan terhadap
pihak-pihak yang berusaha menghidupkan fahaman komunis.
“Kami sebagai bekas-bekas tentera menentang
sekeras-kerasnya terhadap usaha pihak tertentu yang mahu menghidupkan kembali
aktiviti atau fahaman komunis di negara kita.
“Bekas-bekas tentera akan sedia berkorban lagi untuk
mempertahankan kedaulatan negara dari semasa ke semasa,” ujarnya kepada Utusan
Borneo, semalam.
Terdahulu Thomas diminta memberi komen berhubung
kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim
baru-baru ini, mengenai segelintir pihak yang tertarik terhadap fahaman
komunisme dan mahu mewujudkan kembali fahaman itu di negara ini.
Menurut Rais, masyarakat tidak harus melayan atau
terpengaruh dengan golongan tersebut yang beliau sifatkan sebagai golongan yang
tidak memahami sejarah negara atau golongan yang telah sesat.
Katanya, gerakan menentang komunisme mesti dilakukan
secara menyeluruh memandangkan pelaksanaan atau pewujudan Parti Komunis Malaya
(PKM) adalah haram.
Thomas yang juga Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera
Laut Diraja Malaysia (PBTLDM) Negeri Sarawak mahu kerajaan Malaysia bertindak
awal dan tegas terhadap pihak yang ingin hidupkan kembali fahaman komunisme di
negara ini.
“Tindakan mereka itu hanya akan mengacau ketenteraman dan
mengucar kacirkan negara,” jelas sambil menambah akibat kekejaman pihak PKM,
ramai anggota tentera telah terkorban atau menderita dalam pertempuran
menentang komunis.
Menurut Thomas lagi, beliau tidak mahu melihat sejarah
hitam negara ketika menentang anasir komunis ketika zaman darurat dahulu
berulang kembali, yang pastinya akan mengorbankan nyawa yang tidak berdosa.
Sumber: Utusan Borneo
0 comments:
Post a Comment