Tuesday, October 1, 2013


Pada hari ini ada juga dakwaan yang berani daripada mereka yang buta sejarah dengan menyatakan kemerdekaan yang diperoleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957 bukan kemerdekaan sepenuhnya dan turut mendakwa jika bukan disebabkan perjuangan PKM, sukar untuk British memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Fakta ini diseleweng untuk menutup perjuangan sia-sia di hutan oleh PKM. Hakikatnya Tanah Melayu ketika itu mencapai kemerdekaan pada 1957 dan bukan selepas ancaman komunis dihapuskan sepenuhnya pada 1960. Ini jelas menunjukkan British yakin dengan kepemimpinan Tunku yang dilihat mampu membawa kestabilan berkekalan kepada Tanah Melayu serta rantau Asia Tenggara walaupun British ketika itu turut diancam teori domino di Indochina.

Ini membuktikan betapa masalah keganasan komunis bukan faktor British memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu lebih awal daripada jangkaan iaitu pada 1960. Mengikut rekod, Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi British yang dilantik oleh Winston Churchill, Perdana Menteri Britain pada ketika itu diberikan mandat seawal 1952 iaitu menjadi dasar kerajaan kolonial British bahawa Tanah Melayu diberi kemerdekaan dan hak memerintah seawal 1960.

Jika bukan disebabkan pengorbanan orang awam menggadaikan barang kemas dan menderma wang ringgit sendiri, delegasi Tunku Abdul Rahman tidak cukup dana untuk menghadiri perbincangan Kemerdekaan ke London bersama wakil MCA dan MIC. Hakikatnya yang lebih jelas pada 28-29 Disember 1955, ketika rundingan Baling, Setiausaha Agung PKM, Chin Peng ketika itu secara jelas menyatakan jika kerajaan pimpinan Tunku berjaya mencapai kemerdekaan, PKM tetap meneruskan perjuangan bersenjata menentang kerajaan Tunku yang dipilih rakyat kerana dia melihat tiada ruang untuk kerjasama antara parti komunis dan parti pemerintah (komunis adalah sistem satu parti memerintah).

Ketika rundingan, Tunku berkali-kali menawarkan pengampunan kepada anggota PKM untuk meletak senjata dan menjadi anggota masyarakat yang sama-sama membangunkan negara yang bakal merdeka. Peristiwa ini direkodkan pada hari kedua rundingan dengan Tunku meminta Chin Peng memikirkan nasib tujuh juta penduduk Tanah Melayu ketika itu yang menerima kesan buruk akibat perjuangan bersenjata 3,000 pengganas komunis yang aktif di hutan.


Chin Peng sekali lagi menolak tawaran ini berikutan terlalu taksub dengan kejayaan Parti Komunis di China tanpa mengambil kira perbezaan politik di Tanah Melayu. Rundingan Baling walaupun gagal, terus kekal dalam sejarah sebagai bukti cukup jelas pendirian perjuangan komunis yang sia-sia dan menyimpang daripada perjuangan kemerdekaan; hakikat ini tidak dapat dipadam sampai bila-bila oleh sesiapa sekalipun. Jika diteliti rekod tulisan Chin Peng melalui memoirnya, My Side of Story, jelas menunjukkan dia tiada pendirian berkenaan objektif perjuangan PKM di Tanah Melayu dan lebih terikut-ikutkan situasi di China di bawah Mao Zedong.

0 comments:

Post a Comment

POPULAR ARTIKEL