Mufti Perak telah mengeluarkan kenyataan bersifat ‘mengganggu’
peserta dan penganjur Himpunan Guling Kerajaan pada 31 Disember lepas apabila
mengeluarkan kenyataan berkaitan ‘Bughah’ dan ‘Halal Darah’.
Mana tidaknya, lihatlah bagaimana keadaan Himpunan Guling
Kerajaan pada malam sambutan tahun baharu 2014 sehingga mengganggu majlis Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Dataran Merdeka dan mencederakan beberapa
anggota polis yang mengawal.
Biarpun banyak laporan polis dibuat di seluruh Malaysia,
namun penganjur Himpunan Guling Kerajaan itu angkuh dan sombong dengan tidak mempedulikan
suara majoriti rakyat Malaysia yang mahukan himpunan itu dihentikan.
Susulan daripada kenyataan itu, pihak-pihak yang terasa
seperti pemimpin PAS (kononnya alim) dan pemimpin PKR telah merungut dan menggelabah
serta mempersoalkan kenyataan Mufti Perak itu.
Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan kenyataan Mufti
Perak itu, bersama ini disertakan kenyataan rasmi Mufti Perak berhubung isu ‘Bughah’
dan ‘Halal Darah’.
KENYATAAN RASMI S.S. MUFTI KERAJAAN NEGERI PERAK
BERKAITAN ISU “ BUGHAH ” DAN “ HALAL DARAH ”
Merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian dan portal
Malaysiakini bertarikh 2 Januari 2014 yang menyatakan di halaman utama bahawa
Perhimpunan Haram Di Dataran Merdeka “Penderhaka”, peserta perhimpunan sebagai
“Bughah” iaitu penderhaka terhadap pemerintah adil. Sementara di halaman 10
akhbar Berita Harian ditulis pernyataan “sepatutnya semua peserta perhimpunan
ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari Hukum Syarak dihalalkan
golongan bughah”. Akhbar Sinar Harian bertarikh 5 Januari 2014 di halaman utama
dan kedua juga sarat dengan pandangan saya berkenaan isu “Bughah” dan
demonstrasi.
Kenyataan-kenyataan tersebut telah diterbitkan menerusi
media arus perdana dan dikatakan menjadi polemik dan kecelaruan kepada
masyarakat. Pada dasarnya, ia adalah kenyataan daripada saya apabila ditemu
bual oleh wartawan akhbar Berita Harian dan Sinar Harian namun, kenyataan
panjang saya kepada Berita Harian berhubung perkara tersebut dipendekkan malah
difokuskan hanya kepada isu demonstrasi “ TURUN” sahaja. Sedangkan terdapat isu
lain termasuk penganjuran Konsert di Ambang Tahun Baru “ditiadakan” sebagai
bahan berita.
Diizinkan Allah saya dapat menatap isu dan berita perihal
demonstrasi setiap kali ianya dianjurkan oleh pelbagai pihak di Malaysia.
Setiap kali penganjuran demonstrasi dilaksanakan, maka saya akan dihubungi
untuk memberi ulasan terhadapnya. Apa yang menggusarkan saya ialah apabila
berlakunya demonstrasi dalam skala yang besar di negara ini maka, majoriti para
pesertanya adalah orang Melayu yang beragama Islam. Maka, secara jelasnya akan
berlaku pertembungan antara dua pihak yang mana kedua-duanya merupakan warga
Muslim. Jika berlaku pertembungan tersebut sudah tentu ia akan menghasilkan
kemudaratan ke atas pihak-pihak, di samping akan menguntungkan mereka yang
berkepentingan dan yang menangguk di air yang keruh.
Nasihat dan Peringatan
Oleh yang demikian, selagi diberi amanah saya tidak akan
berputus asa untuk menegur dan mendamaikan kedua-dua kumpulan yang merupakan
saudara- saudara saya. Sudah tentu ayat al Quran surah Al Hujurat ayat 9
menjadi panduan yang bermaksud :
“…Dan jika dua puak dari orang-orang beriman
berselisihan, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya bersifat
melampau (zalim), maka lawanlah puak yang melampau (zalim) itu sehingga ia
kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di
antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu
(dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku
adil…” .
Sebab penurunan ayat ini dengan satu riwayat daripadanya
ialah perbalahan yang ditimbulkan oleh Abdullah bin Ubai yang menyemarakkan
perbalahan dengan mengatakan bahawa kencing himar Rasulullah ketika Baginda SAW
menziarahi Sa’ad bin Ubadah telah menyakiti beliau.
Dalam riwayat yang lain pula merekodkan perbalahan itu
berlaku sesama golongan ansar.(tafsir Ibn Juza)
Saya berpandangan bahawa syarat “syaukah” yang sering
dikaitkan dengan bughah masih dijadikan perbahasan seperti yang terkandung
dalam kitab-kitab feqh contohnya kitab nihayatul Muhtaj.
Dalam kes Abu Bakar al Siddiq memerangi orang-orang yang
tidak mengeluarkan zakat juga memberi gambaran kepada kita bahawa tindakan
memerangi mereka juga diambil walaupun golongan ini tidak mempunyai senjata
namun ia di dokong oleh sekumpulan manusia yang mempunyai bilangan ramai dan
munasabah mencetuskan suasana tidak aman kepada pemerintahan.
Pembentukan negara kita berasaskan sistem demokrasi
berparlimen. Rakyat diberi hak untuk menentukan pemimpin yang mereka kehendaki
berdasarkan sistem pilihan raya. Oleh itu, adalah tidak wajar sama sekali
rakyat dihasut untuk mencari mekanisme yang lain bagi menyatakan ketidakpuasan
hati kerana negara ini mempunyai instrumen yang diakui untuk menyampai hasrat
rakyat seperti parlimen, Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri ataupun mahkamah.
Tanpa menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman sepertimana yang
dilaungkan namun, rantaian demonstrasi yang telah berlaku mencatatkan
sebaliknya. Telah timbul kebimbangan kepada rakyat di sekitarnya kerana
kemudaratan lebih terhasil daripada manfaat.
Larangan Memberontak
Saya menekuni hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari
dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud:
“Sesungguhnya akan timbul selepas aku sifat pentingkan
diri (daripada pemimpin-pemimpin kamu) dan perkara-perkara yang kamu ingkar”.
Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah! Apakah yang engkau perintahkan kepada
kami? Jawab Baginda SAW “ Kamu hendaklah menunaikan hak yang diwajibkan ke atas
kamu dan mintalah hak kamu daripada Allah ”.
Imam Al Nawawi menyatakan bahawa terdapat dorongan di
dalam hadis ini untuk dengar dan taat sekalipun pemerintah adalah zalim.
Sebagai rakyat, seseorang itu perlu memberikan hak pemimpin iaitu ketaatan dan
tidak memberontak, bahkan dia perlu merendahkan diri kepada Allah dalam usaha
menghapuskan kemudaratan pemimpin, menolak kejahatannya dan berusaha untuk
membaikinya. Ini bertepatan dengan saranan Nabi Nabi SAW bahawa cara teguran
terbaik adalah secara bersemuka
“Se afdhal-afdhal jihad ialah memperkatakan kebenaran di
hadapan pemimpin yang zalim” (HR Abu Daud)
Antara adab penting yang wajib diambil kira dalam
menasihati pemimpin ialah member nasihat secara sembunyi, bukan secara
terang-terangan berdasarkan hadith:
“Sesiapa yang ingin menasihati pemerintah berkenaan
sesuatu urusan maka janganlah dizahirkan secara terang-terangan tetapi
hendaklah memimpin tangannya ke tempat yang sunyi sekiranya dia menerima
nasihat maka niatnya telah tercapai tetapi sekiranya ia enggan menerima nasihat
maka sesungguhnya orang yang memberi nasihat telah pun melaksanakan tugasnya
.(HR Imam Ahmad)
Imam Ibnu Hajar Al Asqolani merakamkan dalam kitab Fathul
Bari bahawa “para Fuqaha telah sepakat atas kewajiban untuk mentaati pemimpin
yang berkuasa dan untuk berjihad bersamanya. Ketaatan kepadanya lebih baik
daripada memberontak kerana dapat mengelak daripada tercetusnya pertumpahan
darah dan memberi ketenangan kepada orang ramai”.
Belum pun ditinjau dari sudut istilah syara’, perkataan bagha
dari sudut bahasa sudah pun membawa maksud kerosakan, melampaui batas, hasad
dan kezaliman. (Maqayis lughah, Mukhtar al Sihah dan lisan al arab). Laporan
Berita Harian hanya melaporkan pandangan saya tentang kerisauan saya tentang
kesan bagha para penunjuk perasaan walhal saya juga membuat teguran yang sama
kepada perbuatan bagha penganjur pesta maksiat sempena sambutan awal tahun.
Jika dikatakan demonstrasi adalah cara terbaik untuk
menggerakkan kerajaan yang lalai, maka saya fikir itu bukanlah cara yang
bersesuaian kerana saya tidak rela dengan apa yang berlaku di Mesir di mana
kerajaan yang sah digulingkan secara kekerasan berpunca daripada demonstrasi
yang menyebabkan ribuan nyawa terkorban. Apa yang merisaukan saya adalah
sekiranya demonstrasi ini menjadi tindakan biasa dan jalan pintas terhadap
sebarang ketidakpuasan hati segelintir rakyat. Maka, keamanan dan kestabilan
ekonomi, politik dan masyarakat tidak akan berlaku. Seperti dimaklumi,
mekanisme menurunkan kerajaan secara aman telah disediakan secara terhormat dan
demokratik serta telah terbukti mampu dibuat secara aman damai. Buktinya ialah
terbahaginya negeri-negeri di Malaysia ini di bawah pemerintahan kerajaan
Barisan Nasional dan Pakatan Pembangkang.
Kerisauan saya ini saya zahirkan dengan mengulangi
ketetapan para ulama yang menggambarkan betapa usaha menjatuhkan kerajaan yang
sah secara kekerasan itu sangat bahaya kepada kesatuan ummah bahawa golongan
bughah ini boleh diperangi setelah diajak berdamai seperti direkodkan dalam pelbagai
kitab termasuk al fatawa al kubra karangan Ibn Taimiyyah.
Semoga tanah air kita terselamat daripada golongan ini
dan menyelamatkan kita semua.
Saya menyeru semua umat Islam berhati-hati dari terjebak
menjadi ‘ayam laga’ kepada pihak-pihak yang berkepentingan melalui
perkakas-perkakas media dan sebagainya kerana mereka sangat iri hati jika umat
Islam bersatu dan bersepakat. Ingatlah pesanan dan ancaman Rasulullah SAW :
Jika datang kepada kamu sekumpulan manusia dengan seorang
pemimpin yang bertujuan untuk merobek kekuatan kamu dan memecahbelahkan Jemaah
kamu maka bunuhlah ia. (Hadith Riwayat Muslim)
Hadith ini sebagai peringatan serius Nabi SAW agar
dikekalkan penyatuan ummah dan segala usaha memecah belah umat patut ditangani
secara tegas dan tuntas.
Kesimpulannya, sekiranya berlaku percanggahan pandangan
terhadap isu ini, ianya merupakan pemahaman dan penelitian saya terhadap isu
dan kaitannya dengan realiti semasa di Negara ini. Saya tiada niat lain kecuali
mencari redha Allah dan melihat perpaduan umat Islam terus terpelihara
khususnya dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa.
0 comments:
Post a Comment