Cadangan wakil rakyat DAP untuk membawa usul meminda
Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988
bakal memberi kesan terhadap hubungan parti itu dengan PAS dan PKR yang
mengetuai kerajaan negeri, demikian kata seorang ahli akademik.
Dr Amini Amir Abdullah dari Universiti Putra Malaysia (UPM)
berpendapat perkara itu menjadi ujian terbesar dalam menguji kredibiliti dan
pegangan agama wakil rakyat beragama Islam dari Pas dan PKR, sekiranya
benar-benar diusulkan pada sidang Dewan Undangan Negeri yang akan datang.
Beliau berkata, wakil kedua-dua parti itu tentunya tidak
boleh lagi 'bermuka-muka' dalam hal agama demi menjaga 'air muka' DAP kerana
sebagai orang Islam, 26 wakil rakyat Melayu Islam, membabitkan 15 dari PAS dan
11 PKR itu tentunya perlu menunjukkan solidariti dalam kewajipannya
mempertahankan kesucian agama Islam, khususnya dalam isu penggunaan kalimah
Allah oleh penganut agama lain.
"Tentu sekali cadangan itu bakal menguji hubungan
antara DAP-PAS-PKR, selain mengukur sejauh mana kredibiliti orang agama dalam PAS
dan PKR di Selangor. Jika usul ubah enakmen itu betul-betul terjadi, malah jika
ditambah tiga ADUN PKR bukan beragama Islam, DAP masih perlukan undi daripada ADUN
lain bagi membolehkan enakmen itu diubah.
"Jadi, di sinilah kesepakatan dan kekuatan politik
wakil rakyat PAS dan PKR akan diuji sama ada untuk menyokong atau sebaliknya
kerana saya yakin 12 orang wakil Barisan Nasional tentunya akan menolak usul
berkenaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Amini Amir mengulas cadangan ADUN Damansara Utama Yeo Bee
Yin, Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran dan Adun Kampung Tunku Lau Weng San
mencadangkan agar enakmen itu dipinda untuk memastikan hak bukan Islam terjaga.
Cadangan itu tercetus dipercayai susulan tindakan Jabatan
Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sejumlah naskah Bible berbahasa Melayu dan
bahasa Iban yang mengandungi kalimah ALLAH dalam serbuan ke atas Persatuan
Bible Malaysia di Damansara pada Khamis lepas.
Setelah berlarutan sekian lama, isu kalimah ALLAH kembali
hangat selepas pengarang majalah mingguan Katolik 'The Herald" Paderi
Lawrence Andrew berkeras bahawa gereja Katolik di Selangor akan terus
menggunakan kalimah ALLAH dalam perhimpunan mingguannya meskipun Sultan
Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah beberapa kali menitahkan bahawa
kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh mana-mana agama bukan Islam di negeri
itu.
Amini Amir berkata, walaupun yakin wakil rakyat Pas dan
PKR yang beragama Islam akan menolak usul pindaan itu, beliau berpendapat
mereka perlu tampil menyatakan sokongan dan menolak secara terbuka cadangan itu
supaya wakil DAP segera membatalkan hasrat untuk berbuat demikian.
Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia itu berkata tindakan
sedemikian mampu memberi isyarat kepada mana-mana pihak bahawa sebarang cubaan untuk
mempermainkan perkara yang berkaitan agama Islam akan ditolak, dan kesatuan itu
tidak boleh diganggu-gugat walaupun ia boleh memberi kesan sementara kepada
hubungan antara parti berkenaan.
Amini Amir juga menasihatkan wakil DAP yang ingin berbuat
demikian supaya mengambil kira kedudukan Jawatankuasa Kerja Eksekutif (CEC)
parti itu yang sehingga kini belum diiktiraf Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Mereka tahu parti itu tidak boleh berfungsi
sehingga diiktiraf ROS, malah mereka juga mungkin faham bahawa ketidaksahihan
itu boleh menyebabkan hak untuk mengemukakan usul boleh dipertikai anggota
dewan yang lain," katanya dan menambah ia boleh menjadi usul haram
berdasarkan status CEC itu.
Berhubung kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal
Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi semalam
bahawa Paderi Andrew tidak perlu memohon maaf atas kenyataannya untuk terus
menggunakan kalimah ALLAH, Amini Amir berkata perkara itu perlu bagi meredakan
kemarahan orang Islam, dan lebih utama menunjukkan kepatuhan terhadap titah
Sultan dan perintah mahkamah.
Beliau berkata, Andrew sepatutnya mencontohi tindakan
seorang peguam yang membuat permohonan maaf secara terbuka keceluparannya
meminta laungan azan sebuah masjid berhampiran kediamannya di kawasan Bukit
Kerinchi diperlahankan pada Januari 2011, sekaligus mengelak pertikaian antara
kaum dan agama berpanjangan.
Akur bahawa dialog berterusan antara agama adalah
penting, Amini Amir bagaimanapun mengingatkan bahawa permohonan maaf yang
dibuat boleh memberi nilai tambah kepada dialog yang bakal dilangsungkan kelak.
"Demi untuk kehamornian, beliau perlu segera memohon
maaf kerana jika dialog diteruskan ketika kemarahan satu pihak masih menyala,
ia tentunya tidak akan memberikan apa-apa...dialog melibatkan agama memerlukan
suasana yang tenang dengan semua pihak mengosongkan fikiran tanpa ada bibit
kemarahan," katanya.
Apakah penyokong Islam Pakatan Pembangkang bersetuju
dengan tindakan dan kenyataan ADUN DAP berhubung gesaan pindaan meminda Enakmen
Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988.
0 comments:
Post a Comment