Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hwa dilahirkan
pada 21 Oktober 1924 di No 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan, Perak. Beliau
adalah bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM). Perjuangan revolusi
bersenjata yang didokongnya banyak menumpahkan darah.
Tidak sedikit air mata yang mengalir, penderitaan,
kesedihan, ketakutan dan trauma yang mendalam dialami rakyat akibat kekejaman
komunis ketika zaman Darurat (1948-1960). Penduduk yang tinggal berhampiran
kawasan hutan dan di estet getah seluruh negara berdepan dengan ancaman nyawa,
harta benda dan tanaman mereka dimusnahkan.-Pastinya perajurit tanah air yang
berjuang menentang komunis tidak dapat melupakan kezaliman dan kekejaman
komunis. Selagi hayat dikandung badan, maka segala pengalaman itu tetap menjadi
kenangan pahit buat mereka.
Di jangka seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban dan
2,560 cedera. Ramai perajurit yang cacat anggota kerana bertempur dengan
komunis masih hidup hingga kini. Di kalangan orang awam pula, sebanyak 2,473
terbunuh , 1,385 cedera dan 810 ditawan komunis. Kematian pihak gerila komunis
adalah 6,710 dan yang ditawan seramai 3,989 orang.
Elok rasanya kita menyingkap sejarah pergerakan komunis
di negara kita. Ideologi komunis mula menyerap masuk ke Tanah Melayu pada
1920-an. Melalui Biro Timur Jauh, ejen komunis antarabangsa (Comintern),
terutama dari China dan Russia berjaya mempengaruhi kebanyakan pertubuhan
buruh, kesatuan sosialis dan kesatuan pengguna yang kebanyakannya dianggotai
kaum Cina. Bahan penerbitan komunis seperti surat berita keluaran Rosita dan
Delta News Agency, buku dan risalah komunis dari China dan Russia mempengaruhi
kebanyakan orang Cina. Buku berjudul Komunisme dan Negeri China karangan Fung
Tsz You adalah di antara buku yang dibaca.
Kelas malam yang wujud di Kuala Lumpur turut dijadikan
markas penyebaran fahaman komunis. Pada Mei 1926, Kesatuan Sekerja Am Nanyang
ditubuhkan di bawah pengaruh Communist International TradeUnion Organisation
(Profintern). General Labour TradeUnion’ di Singapura turut dipengaruhi
komunis. Kedua-duanya mendalangi beberapa siri mogok sekitar 1920-an. Pada 1928
Parti Komunis Nanyang ditubuhkan dengan sayap utamanya Liga Anti Imperialis
Nanyang. Akhirnya, atas arahan Commintern, maka PKM ditubuhkan pada 1930
menggantikan Parti Komunis Nanyang. Sayap pemudanya dikenali sebagai Malayan
Communist Youth.
Pada 1935, pemogokan pekerja didalangi komunis berlaku di
Singapura dan Kuala Lumpur. Ia menjadi serius pada 1937 apabila buruh estet
getah dan bijih turut mogok menyebabkan ekonomi negara terancam. British di
Tanah Melayu melaksanakan ‘Punishment Ordinance’ dengan menangkap pemimpin
kesatuan buruh yang disyaki sebagai aktivis komunis. Namun, mereka terus
berarak dan berdemonstrasi di Kuala Lumpur dan keadaan menjadi serius apabila
buruh lombong arang batu di Batu Arang merampas lombong serta mengawal
pengurusannya.
Ia akhirnya memaksa majikan bersetuju menerima beberapa
tuntutan mereka seperti kenaikan gaji, syarat bekerja yang lebih baik dan
kemudahan pekerja yang sewajarnya. Ketika Jepun menawan Tanah Melayu, PKM turut
bangkit menentang Jepun menyebabkan British mengiktirafnya sebagai pertubuhan
yang sah (1945-1948).
Sentimen anti-Jepun di kalangan orang Cina dan PKM
mendorong mereka menubuhkan Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk
menentang Jepun. Selepas tamatnya perang (16 Ogos 1945), MPAJA atau dikenali
sebagai Bintang Tiga menguasai negara selama 14 hari dengan melakukan pelbagai
kezaliman dan kekejaman.
Apabila British kembali pada awal September 1945 dan
mengharamkan MPAJA, maka ahlinya menganggotai Old Comrades Association yang
ditubuhkan akhir 1945. Di antara 1946-1947 terdapat hampir 300 pemogokan
didalangi komunis. Pada 1947, Chin Peng dilantik menjadi Setiausaha Agung PKM.
Beliau tertarik dengan pendekatan revolusi komunis di China pimpinan Mao
Zedong.
Pada 1948, PKM mengangkat senjata menentang penubuhan
Persekutuan Tanah Melayu menyebabkan British mengisytiharkan darurat di Tanah
Melayu (1948-1960).
Perjuangannya bersarang di hutan belantara dengan
melakukan serangan hendap serta menggunakan kaedah jerangkap samar yang
mengorbankan banyak nyawa dan kecacatan. Pada 1955, Chin Peng menolak
perjanjian Damai Baling dengan Tungku Abdul Rahman dan meneruskan perjuangan
bersenjata dengan berselindung di sebalik nama Pembebasan Nasional Malaya (PNM).
Pada November 1957 Persidangan International Communist Movement di Moscow
mengiktiraf PKM sebagai parti komunis yang mewakili pertubuhan komunis
antarabangsa di Tanah Melayu.
Wakil PKM yang hadir dalam persidangan itu ialah Siu
Cheong dan Musa Ahmad. Nama seperti Rashid Maidin, Musa Ahmad, Abdullah CD, Abu
Samah Mohd Kassim, Shamsiah Fakeh, Ahmad Baki, Ali Majid dan Abdul Rahman
membawa kita kepada persoalan mengenai pembabitan orang Melayu dalam perjuangan
fahaman kiri ini. Untuk mempengaruhi orang Melayu, komunis menerbit dan
menyebarkan risalah dalam bahasa Melayu seperti Suara Boeroeh Malaya dan
Ingatan. Mereka juga menubuhkan Jawatankuasa Tempatan Komunis dan Liga
Anti-Imperialis. Aktivis Parti Komunis Indonesia (PKI) juga digunakan untuk
meraih sokongan orang Melayu dan orang Jawa di beberapa negeri.
Apabila pemberontakan PKI (1926) gagal, ramai tokoh
ternamanya seperti Tan Malaka, Hasanoesi, Alimen, Sutan Pateh, Moeso, dan
Boedisoejitro melarikan diri ke Singapura dan Pulau Pinang. Wakil PKM iaitu Rashid
Maidin pernah hadir dalam persidangan Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA) di
Maahad II Ihya As-Syarif, Gunung Semanggol pada Mac 1947. Beliau cuba
membangkitkan semangat orang Melayu supaya menentang British melalui kekerasan.
tapi beliau gagal. Pada tahun 1950, komunis telah melancarkan perperangan di
muar johor yang mana sebuah balai polis yang terpencil di kampung bukit kepong
telah menjadi mangsa keganasan kominis. Sekitar 1960-an, masih wujud usaha
mempengaruhi orang Melayu melalui penubuhan beberapa sekolah tajaan komunis
untuk orang Melayu tetapi gagal.
Sekitar 1970-an, terdapat dua siri pembunuhan dilakukan
oleh ejen komunis ke atas pegawai tertinggi Polis Di-Raja Malaysia iaitu Ketua
Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim (1974) dan Ketua Polis Perak, Tan Sri
Khoo Chong Kong (1975). Tugu Negara juga turut dibom pada 1975. Komunis
meletakkan senjata selepas diadakan Majlis Perjanjian Damai di antara Kerajaan
Malaysia dan PKM di Haadyai, Thailand pada 1 Disember 1989.
Kesimpulannya, perjuangan komunis gagal kerana ia tidak
mendapat sokongan orang Melayu yang berakidah Islam. Perjuangan komunis
bukanlah satu sumbangan kemerdekaan tanah air kerana cita-cita PKM mahu
membentuk sebuah Republik Komunis Tanah Melayu adalah satu bentuk penjajahan baru
yang tidak dapat diterima sama sekali, khususnya di kalangan orang Melayu
beragama Islam. Justeru, wajarkah satu perjuangan songsang diberi pengiktirafan
di negara ini?
Dipetik dari VAT69 FB
0 comments:
Post a Comment