Cadangan tiga wakil rakyat DAP untuk meminda Enakmen
Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988
disifatkan sebagai melampau dan tidak menghormati serta mencabar Islam sebagai
agama rasmi Persekutuan.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata,
enakmen tersebut telah diluluskan khusus untuk umat Islam dan tidak
mengganggu-gugat agama-agama lain.
Beliau berkata, undang-undang itu juga amat penting bagi
memastikan tidak ada pihak daripada agama lain memujuk dan menghasut umat Islam
meninggalkan agama suci itu.
"Pada dasarnya enakmen itu ditubuhkan bagi mengawal,
menyekat pengembangan dan kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan orang
Islam serta mampu mengekang gejala murtad di negara ini.
"Selain itu, enakmen berkenaan dilaksanakan supaya
rakyat menghormati Perlembagaan Negara yang menjadikan agama Islam sebagai
agama Persekutuan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan tiga wakil rakyat DAP Selangor
yang mahu enakmen tersebut dipinda susulan tindakan Jabatan Agama Islam
Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan
Iban yang mengandungi kalimah Allah.
Bible tersebut dirampas dalam serbuan di sebuah premis
Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Selangor baru-baru
ini.
Sementara itu, Mohamad Shukri memuji tindakan tegas JAIS
yang disifatkan sebagai tepat demi menjaga kesucian agama Islam.
"JAIS hanya menjalankan tugas melaksanakan enakmen
sedia ada yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, tidak
sepatutnya ada pihak yang mempersoalkan tindakan itu," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Shukri turut menyelar tindakan
Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew berhubung kenyataannya supaya
semua gereja Katolik di Selangor terus menggunakan kalimah Allah dalam
perhimpunan mingguan berbahasa Melayu.
Katanya, tindakan itu telah melanggar perintah mahkamah
sebelum ini yang membuat keputusan tidak membenarkan majalah mingguan, The
Herald, menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan
majalah berkenaan.
"Paderi ini juga telah menderhaka terhadap Sultan
Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum ini menitahkan semua
rakyat khasnya di negeri itu tanpa mengira kaum serta latar belakang agama akur
dan patuh kepada larangan pengunaan kalimah Allah bagi mereka yang bukan
beragama Islam.
"Tindakan seperti ini tidak lebih daripada
mengapi-apikan rakyat untuk mencetuskan ketegangan," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia, 7 Januari 2014
0 comments:
Post a Comment