Friday, October 25, 2013


Hanya kerana  rakyat. Itulah yang boleh digambarkan ke atas pengorbanan calon BN Dr. Ahmad Sohaimi Lazim yang sanggup meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah kanan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semata-mata mahu menabur bakti kepada masyarakat.

Beliau yang merupakan anak tempatan kelahiran Kampung Titi Batu itu berkata, beliau mengambil sedikit masa untuk memikirkan tentang perkara itu kerana 'sayang' mahu meletakkan jawatan namun apabila memikirkan hasrat mahu berkhidmat untuk rakyat, beliau rela berbuat demikian.

"Wartawan bertanya saya, tidak sayang tinggalkan jawatan? Lama saya berfikir, namun yang penting saya lebih sayang rakyat dan mahu berbakti kepada masyarakat di Sungai Limau," katanya berucap dalam majlis Kami Prihatin anjuran Yayasan Felda di Simpang Tiga, Sungai Limau.

Menurut Dr. Ahmad Sohaimi, beliau bertekad untuk memajukan Sungai Limau dengan segala pengalaman yang ada dan sokongan kerajaan BN jika diberi peluang menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Katanya, beliau juga mahu menggunakan pendekatan baharu berpolitik dalam kalangan generasi muda dengan memastikan penyertaan golongan itu sebagai kelompok pelapis.

Dalam aspek itu katanya, beliau bercadang menubuhkan Jawatankuasa Permuafakatan Ummah yang disertai golongan profesional dan ahli akademik.

"Kita mahu mencari jalan untuk meningkatkan perpaduan dan menjana program ilmuwan kerana masyarakat di sini berpotensi untuk dimajukan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi di Sungai Limau memberi peluang kepadanya selepas 25 tahun mereka berada di bawah wakil rakyat Pas.


"Beri kepada saya satu penggal, tengok apa kita nak buat. Andai gagal pulangkan balik (kepada Pas). Setiap undi itu mahal harganya dan saya akan membalas sokongan itu dengan memajukan Sungai Limau. Fizikal saya tidak besar tetapi bercita-cita besar," katanya.

0 comments:

Post a Comment

POPULAR ARTIKEL