Tuesday, October 1, 2013


Umum mengetahui, berdekad lamanya terlalu banyak kesengsaraan dan kematian direkodkan pasukan keselamatan atau orang awam yang tidak berdosa akibat keganasan PKM. Mungkin ramai tidak mengetahui fakta sebenar kaum Cina di Tanah Melayu paling ramai menjadi mangsa kekejaman PKM.

Pada era Perang Dunia Kedua, kebanyakan kaum Cina di Tanah Melayu mendiami pinggir hutan bagi melarikan diri daripada pemerintahan Jepun yang kejam terhadap mereka. Selepas perang tamat, demografi penduduk ini kekal dan PKM dengan mengambil kira bahawa sokongan Cina yang mendiami pinggir hutan adalah penting dalam memastikan kelangsungan perjuangan di hutan, mereka tidak teragak-agak menyeksa dan membunuh kaum ini yang enggan membantu atau membekalkan maklumat serta makanan. Tun Tan Cheng Lock pernah cuba dibunuh dengan dilemparkan bom tangan ketika bermesyuarat di Ipoh, Perak awal 1950-an.

Tindakan ini dilakukan kerana komunis khuatir kejayaan kerjasama Sino-Melayu dalam menuntut kemerdekaan daripada British bakal menenggelamkan perjuangan PKM yang sia-sia. Justeru, tidak hairanlah keganasan komunis pada darurat pertama (1948-1960) banyak direkodkan di negeri yang mempunyai populasi Cina teramai seperti Perak, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan berbanding di negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Melaka, Kelantan dan Terengganu.

Kekejaman tidak berperikemanusiaan PKM terhadap kaum Cina ini direkodkan pasukan keselamatan dan disaksikan pekerja estet. Kaum Cina diseksa akibat enggan bekerjasama malah penyeksaan lebih teruk dibuat kepada mereka yang secara terang-terangan menentang perjuangan PKM (guru, profesional dan ahli perniagaan).

Mungkin ramai juga tidak mengetahui kewujudan komunis berbangsa Tamil diketuai pemuda bernama Perumal yang mengganggu pekerja estet di kalangan kaum India di Sungai Siput dan Ipoh, Perak awal 1950-an. Semua kekejaman ini dilakukan atas nama perjuangan Marxist Communism kononnya memperjuangkan hak kesemarataan tanpa perbezaan kelas. Mungkin fakta dan rekod kekejaman pengganas PKM sukar diterima masyarakat hari ini, hakikatnya perkara itu benar-benar berlaku dan direkodkan pasukan keselamatan sebagai fakta kes.


Semua lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama diancam PKM setiap hari. Mereka khuatir menaiki kenderaan awam kerana disabotaj pengganas komunis. Rakyat turut tidak selamat menaiki kenderaan sendiri menyusuri jalan raya kerana sering diserang hendap pengganas yang mencari mangsa tanpa mengambil kira perbezaan kaum dan agama kerana terlalu ingin merampas pakaian, makanan dan kad pengenalan orang awam bagi tujuan subversif. 

0 comments:

Post a Comment

POPULAR ARTIKEL