Wednesday, October 2, 2013


Bekas tentera, Rosli Adnan Nasution, 54, yang putus kedua-dua kakinya kerana terpijak jerangkap samar dipasang Parti Komunis Malaya (PKM) di sempadan Malaysia-Thailand, amat emosi jika disebut nama komunis ataupun pemimpinnya Chin Peng.

“Mendengar perkataan ‘komunis’ itu pun saya sudah benci, apa lagi jika pengganas itu (Chin Peng) disemadikan di bumi bertuah ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai tindakan setengah pihak yang masih mendewakan Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan negara dan menyokong untuk membawa balik abunya ke negara ini.

Setiausaha Agung PKM, Chin Peng, 89, meninggal dunia di Bangkok, Thailand kerana sakit tua pada Isnin lepas.

Rosli berkata, walaupun beliau tidak terlibat dalam operasi menentang komunis semasa zaman darurat iaitu dari dari 1948 hingga 1960, kesan-kesan peninggalan kumpulan itu telah menyebabkan beliau cacat.

“Saya antara 400 askar yang cedera akibat terpijak jerangkap samar,” katanya dan menambah, walaupun keadaan darurat semakin reda selepas zaman darurat, bagaimanapun ideologi dan ancaman komunis masih berterusan sehingga boleh nampak semangat mereka yang membara."

Rosli berkata, akibat kejadian itu, beliau kini terpaksa bergantung kepada sepasang kaki palsu untuk keluar berjalan, dan kerusi roda untuk bergerak di rumah.

Beliau yang bertugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand pada 1970-an, bukan sahaja terpaksa meninggalkan keluarga, bahkan pernah tidak makan beberapa hari kerana terputus bekalan.

Pihak yang cuba menggambarkan Chin Peng dan PKM sebagai ‘pejuang kemerdekaan’ jelas amat keliru dengan wayang yang dimainkan oleh kedua-duanya, katanya.

Beliau berharap rakyat Malaysia, terutama generasi muda, tidak mudah terpengaruh dengan fakta yang sengaja diputarbelitkan lebih-lebih lagi yang menggambarkan Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan.


Sumber: Bernama

0 comments:

Post a Comment

POPULAR ARTIKEL