Showing posts with label Tanah Melayu. Show all posts
Showing posts with label Tanah Melayu. Show all posts

Friday, October 4, 2013


Samada disengajakan atau tidak, selain DAP yang majoritinya diwakili kaum Cina, parti komponen BN, iaitu MCA juga ‘menyokong’ perjuangan komunis. Kenapakah ini berlaku? Dan, kenapa sekarang dan bukannya dahulu?

Biarpun Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) diterajui orang Melayu, tetapi Setiausaha Agung PKM disandang Chin Peng yang berketurunan Cina. Namun, dalam sesebuah persatuan jawatan Setiausaha sangat berpengaruh dan ini jelas digunakan sebaik-baiknya oleh Chin Peng.


Perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) adalah berorientasikan kaum Cina dalam segala segi termasuk daripada segi dasar, pendirian, strategi, perhubungan dan gerakan bersenjata.

Perjuangan itu telah digariskan oleh Setiausaha Agung PKM, Chin Peng sejak awal penubuhan PKM lagi.

Sehubungan itu, maka tidak hairanlah jika segala kepentingan kaum-kaum lain termasuk kepentingan kaum Melayu dan bumiputera tidak ditekankan dalam perjuangan PKM.

Penubuhan Rejimen Ke-10 PKM yang dianggotai dan dipimpin oleh orang Melayu adalah semata-mata untuk mengabui masyarakat antarabangsa dan orang Melayu di Malaya bahawa PKM dianggotai oleh parti berbilang kaum.

Malahan penyertaan orang bukan Cina di dalam PKM, terlalu kecil terutama daripada kaum India dan etnik bumiputera yang lain, berbanding kaum Cina.

Perjuangan PKM yang ditegakkan berorientasikan kaum Cina sebahagian besarnya didorong oleh dua faktor utama:

n Pertama kerana perjuangan PKM lebih berkiblat kepada Peking, walaupun ketika itu Moscow (Kesatuan Soviet) merupakan negara komunis lebih berpengaruh dan maju di dunia.

Ini kerana secara teorinya PKM mendokong konsep yang dibawa oleh pemimpin China, Mao Tze Tung yang menekankan tentang perjuangan bersenjata bagi mendapatkan kemerdekaan, serta menyokong dasar-dasar yang digariskan oleh Parti Komunis China (PKC).

n Faktor kedua adalah kerana Chin Peng berpendapat kaum Cina lebih maju dan lebih bijak serta menguasai bidang ekonomi di Malaya berbanding orang Melayu dan kaum-kaum lain, maka atas dasar itu, kaum Cinalah yang sepatutnya mendominasi dan menguasai PKM.

Chin Peng sering menekankan perkara itu dalam beberapa perbincangannya dengan pemimpin-pemimpin PKM, termasuk yang dihadiri oleh Pengerusi PKM, Musa Ahmad, bahawa perjuangan PKM di Malaya adalah berasaskan orang Cina.

Beliau memberi alasan pendiriannya itu adalah kerana majoriti kaum Cina terdiri daripada kelas pekerja dan mengikut teori komunis golongan pekerjalah yang seharusnya memimpin revolusi.

Pada masa yang sama, dalam meneruskan perjuangan mereka, pemimpin-pemimpin PKM melihat ke arah China bukan sahaja sebagai sumber inspirasi dan tetapi juga kesetiaan.

Hal ini dapat dilihat daripada sikap pemimpin-pemimpin Jawatankuasa Pusat PKM sering menganggap lawatan kerap mereka ke China sebagai 'HUI CHU KUO' yang membawa maksud kembali 'tanah ibunda'.

Chin Peng sering menganggap orang Melayu dengan kata-katanya yang berbunyi: ''bangsa Melayu adalah bodoh, mundur, pemikirannya tidak luas dan hanya berkisar dalam penghidupan kampung yag didiaminya, fanatik agama serta malas dan berpuas hati kepada keadaan mereka yang ada."

Chin Peng juga menolak hak-hak orang Melayu dan tidak menerima status bumiputera.

Chin Peng memberi alasan pendiriannya adalah kerana golongan Cina kelas pertengahan merupakan golongan revolusionist dan golongan Cina kelas pertengahan juga merupakan penyumbang terbesar kepada kemajuan Malaya, sedangkan golongan Melayu kelas pertengahan adalah alat kerajaan dan golongan Melayu kelas pertengahan bersekongkol dengan golongan kapitalis dan monopoli untuk menindas golongan rakyat bawahan.

Maka sepanjang PKM melancarkan pemberontakan bersenjata bagi menggulingkan kerajaan Malaya, PKM jelas mendokong fahaman perkauman (chauvinist) yang ketara dalam perjuangannya dan kepimpinannya.

Maka tidak hairanlah atas dasar itu, Chin Peng tidak mempunyai kepercayaan terhadap pemimpin-pemimpin Melayu dalam PKM serta sering mendiskriminasi pemimpin-pemimpin Melayu PKM.

Dalam banyak perkara terutama melibatkan rahsia dan dasar parti serta kewangan, Chin Peng tidak pernah berunding dengan pemimpin Melayu PKM.

Begitu juga, Chin peng tidak berminat untuk menggunakan bahasa Melayu dalam hal ehwal PKM.

Walaupun dalam propaganda PKM menyatakan tentang persamaan kaum, namun dalam hal bahasa, hanya bahasa Cina digunakan sebagai bahasa perhubungan dalam PKM dan bahasa-bahasa lain dipinggirkan.

Dokumen-dokumen parti, arahan-arahan dan ucapan-ucapan diterbitkan hanya dalam bahasa Cina, dan beberapa dokumen sahaja diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan kemudian ke dalam bahasa Melayu.

Selain itu, semua mesyuarat Jawatankuasa Pusat PKM diadakan di dalam bahasa Cina dan anggota Melayu perlu menggunakan penterjemah Inggeris.

Pada persidangan antarabangsa, pemimpin PKM mengarahkan wakil PKM mesti berucap dalam bahasa Cina.

Ekoran keadaan itu, wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Melayu PKM terutama Pengerusi PKM, Musa Ahmad, sehingga akhirnya membawa perpecahan kepada kepimpinan PKM.

Sumber: Utusan Online


Lihat bagaimana tragedi Bukit Kepong di mana komunis telah membunuh polis-polis yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu. Kenapa komunis ini sanggup membunuh polis yang diketahui penubuhannya adalah untuk memerangi keganasan?


Jelas idea-idea pemimpin politik berhaluan kiri yang menyokong keganasan komunis sebenarnya bertujuan untuk menganggu gugat kestabilan politik dan keamanan negara. 

Wednesday, October 2, 2013


Saya terjumpa satu artikel menarik yang ditulis oleh Mokhtar Petah dalam manuskrip bukunya, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh yang mengatakan bahawa dulu Mufti Mesir pernah berfatwa bahawa sesiapa yang menerima ajaran Komunis ini maka ia dikira murtad! Baca tulisan beliau dibawah:

...Pada satu hari aku telah terjumpa surat khabar lama, ’Majlis’, dalam peti di rumah datukku. Aku telah membaca surat khabar bertulisan Jawi itu dengan mengeja atau merangkak-rangkak. Aku telah membaca dan memahami rencana pengarangnya, iaitu:

’Punca atau ibu komunis itu ialah di tanah Rusia dan dari sanalah menjalar ke Benua China ke India dan juga ke Eropah dan dari situ menjalar pula ke negeri-negeri Islam seperti, Mesir, Turki, Farsi (Iran), dan negeri-negeri sekelilingnya akan tetapi benih itu tidak dapat hidup dengan suburnya di negeri-negeri Islam oleh kerana sangat-sangat berlawanan dengan agama al-Quran – oleh itu Mufti Mesir dengan persetujuan ulama-ulama Azhar (Universiti al Azhar) memfatwakan bahawa barang siapa yang menerima atau membenarkan ajaran komunis maka sanya ia telah murtad (keluar dari agama Islam)...

Anda boleh membaca tulisan penuh beliau seterusnya dalam artikel pilihan 2 di bawah ini.


Sebuah buku yang diterbitkan pada tahun 1954, di tulis oleh Dr Purcell, menceritakan berkaitan dengan era-komunis di Tanah Melayu.


Parti Komunis Malaya (PKM) yang ketika itu dipimpin oleh Chin Peng sebagai Setiausaha Agungnya, memulakan penentangan bersenjata terhadap tentera British di Tanah Melayu pada tahun 1948 berakhir selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan iaitu hingga tahun 1960.

Konfrontasi tamat pada tahun 1966 dan tentera British berundur dari Malaysia pada tahun 1967. Selepas itu PKM yang merasakan ketiadaan tentera British adalah satu peluang keemasan untuk mereka menubuhkan sebuah republik komunis, telah meneruskan penentangan bersenjata terhadap kerajaan Persekutuan Malaysia mulai tahun 1968 hingga tahun 1989.

Perlu di ingat antara tahun 1942 hingga 1945, MPAJA sudah mempunyai ahli seramai 4 hingga 5 ribu orang. Di saat inilah juga PKM melalui MPAJA telah menggerakkan agenda besar sebenar mereka untuk menubuhkan sebuah Negara Komunis dengan berselindung di sebalik perjuangan menentang tentera Jepun untuk menarik sokongan orang melayu agar menyokong mereka padahal itu bukan matlamat sebenar mereka.

Jangan kita lupa bahawa selepas British kalah dan di era pendudukan Jepun , lebih daripada 10 ribu nyawa yang terkorban angkara MPAJA dan PKM. Itu angka yang dicatatkan dan dilaporkan, angka yang sebenar mungkin lebih banyak. Kekejaman mereka berakhir dengan kembalinya British ke Tanah Melayu dan membawa idea Malayan Union.

Pejuang bangsa ketika itu sebenarnya menghadapi dua rintangan dan cabaran yang besar iaitu dalam menentang Malayan Union dan dalam masa yang sama menentang PKM dan MPAJA.

Sejarah nampaknya kini berulang bagi mereka yang sudah nampak akan permainan tangan-tangan ghaib di bumi Melayu yang bertuah ini!

Ingat, permainan mereka dulu telah berjaya menjadikan Temasek iaitu sebahagian dari Tanah Melayu sebagai Nan Yang, sebuah Negara Cina Baru atau negara Cina Seberang Laut. Parti PAP Singapura berjaya mengklonkan legasi mereka di tanah melayu, walaupun nama parti berlainan tetapi matlamat mereka adalah sama! Mengapa orang Melayu-Islam tidak nampak atau sengaja tidak mahu ambil peduli tentang perkara ini?

Permainan mereka kali ini belum mencapai target mereka yang sebenar iaitu untuk menjadikan seluruh tanah melayu ini milik mereka, walaupun Pulau Ka-Satu atau "First Island" yang ibu negerinya dulu disebut Tanjung Penaga (kini disebut George Town) secara simbolik nampaknya kini sudah jatuh ke tangan mereka.


Minta dijauhkan oleh Allah SWT akan usaha-usaha ke arah menghidupkan semula Republic Communist Of Malaya atau Negara Nan Yang ke-2 selepas Temasek. Semoga bangsa Melayu-Islam kita tidak menyokong atau memilih perjuangan cara komunis ini.


Sama ada suka atau tidak, suatu ketika Parti Komunis Malaya (PKM) mahu Tanah Melayu dijadikan sebagai sebuah Negara atau Republik Komunis Malaya.

Oleh kerana kita semua tidak membaca atau menghayati sejarah perjuangan bangsa, maka kita mudah terkeliru dengan dakyah musuh-musuh kita yang sememangnya suka memutar belitkan sejarah.

Ada yang mendakwa pejuang Melayu awal menuntut kemerdekaan bukanlah pejuang kemerdekaan sebenar, malah mereka menuduh para pejuang awal sanggup bersekongkol dengan British demi untuk mencapai kemerdekaan negara seterusnya mengikut telunjuk penjajah dalam membentuk sebuah negara bangsa.

Lebih teruk dan malang lagi bila mereka mula mengagung-agungkan perjuangan komunis dalam usaha mencapai kemerdekaan negara ini walhal mereka tidak tahu atau sengaja menyembunyikan fakta bahawa yang menubuhkan Pasukan Tentera Anti-Jepun atau MPAJA adalah Komunis PKM. Penubuhan MPAJA juga turut direstui, malah disokong penuh oleh British.

Mereka juga terlupa atau telah buat-buat lupa bahawa British pernah mengiktiraf PKM pada tahun 1942.

Mereka jangan lupa bahawa mereka juga pernah dibekalkan oleh tentera British yang berpengkalan di Ceylon (Sri Lanka) dan India dengan senjata, peluru, bahan letupan, peralatan perang, makanan, peralatan radio wireles dan sumber kewangan.

Semua bekalan dihantar oleh tentera British kepada gerila Komunis MPAJA melalui kapal selam dan pengguguran dengan payung terjun.

Setelah tentera Jepun kalah perang, tentera British kembali ke Tanah Melayu, telah meminta anggota MPAJA untuk meletak senjata dan memulangkan semula semua kelengkapan yang pernah diberikan untuk menentang Jepun sebelumnya, tetapi sayap bersenjata PKM enggan. Ini adalah kerana agenda besar mereka adalah untuk menubuhkan sebuah negara Komunis di Tanah Melayu masih belum tercapai.


Maka, sejak dari itu bermulalah penentangan PKM terhadap tentera British di Tanah Melayu.

Tuesday, October 1, 2013


Foto: Anggota Pasukan Pertama Rejimen Infantri Fiji bersama lima mayat komunis yang ditembak mati di Batu Pahat, Johor, pada 18 September 1953.

Dalam memoirnya, ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng mendakwa yang perjuangannya untuk memerdekakan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia adalah atas nama ideologi. Dan dalam usahanya itu, pertumpahan darah tidak dapat dielakkan.

Dia cuba untuk menulis dan mentafsir semula sejarah dalam autobiografi itu namun pemilik nama asal Ong Boon Hua ini tidak mungkin dapat mengelabui mata semua khususnya rakyat Malaysia kerana banyak buku lain seperti The Communist Struggle in Malaya oleh Gene Z. Hanrahan, Hearts and Minds in Guerilla Warfare: The Malayan Emergency 1948-1960 oleh Richard Stubbs, Operation Ginger oleh Yuen Yuet Leng dan Darurat 1948-1960 oleh Ho Hui Ling serta berpuluh lagi buku dan laporan, yang kesemuanya mendedahkan keganasan serta kekejaman komunis bukan hanya kepada penjajah British tetapi rakyat tempatan.

Kekejaman yang menyaksikan nyawa rakyat khususnya pasukan keselamatan begitu murah di tangan komunis dan ketakutan menjadi makanan harian ketika itu, tidak mungkin dilupakan oleh mereka yang memahami sejarah.

Dalam kerakusan untuk menjadikan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia, sebagai negara komunis, Chin Peng memilih peluru dan senjata sebagai alat untuk meyakinkan rakyat agar menyokong gelombang merah.

Tempoh Darurat selama 12 tahun sejak 1948 mencatatkan banyak insiden berdarah yang menyayat hati angkara anggota komunis dan tali barut mereka. Serang hendap dilakukan tanpa henti dari Kelantan ke Perlis malah hingga ke Sarawak.

Sejumlah besar harta-benda awam pula menjadi abu apabila komunis membakar kampung-kampung yang tidak memberi kerjasama kepada mereka. Melayu, Cina, India, bahkan etnik lain, semuanya menjadi mangsa.

Sesuatu yang pasti, komunis tidak meninggalkan sekelumit pun catatan manis kepada rakyat negara ini, sebaliknya hanyalah penderitaan dan sengsara, yang traumanya masih terkesan sehingga kini

Seramai 2,083 anggota keselamatan dan tidak kurang 2,000 orang awam dibunuh manakala lebih 2,500 perajurit lagi cedera malah ada yang cacat gara-gara komunis durjana. Kekejaman komunis tidak cukup dengan membunuh malah diceritakan bersikap lebih teruk daripada binatang apabila sanggup menyeksa termasuk mengorek mata mangsa.

Dosa Chin Peng dan komunis hakikatnya memang terlalu besar dan tidak terampun!

Walaupun selepas Darurat diisytiharkan tamat pada 31 Ogos 1960, Chin Peng dan PKM terus-terusan melakukan keganasan. Mengalih operasi ke sempadan Thailand, serang hendap dan siri pembunuhan terus dirancang yang menyaksikan ramai anggota polis, tentera, renjer dan orang awam menjadi korban termasuk Timbalan Penguasa Polis, Wong Lim Hoon yang dibunuh pada 18 Januari 1973; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim ditembak mati di dalam keretanya pada 4 Jun 1974 dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong turut maut pada 13 November 1975.

Amat memalukan apabila ada kalangan rakyat negara ini kini yang cuba mengangkat Chin Peng sebagai hero negara. Mereka buta apabila membaca sejarah separuh jalan.

Benar, komunis bekerjasama dengan British sebagai anggota Malayan Peoples Anti-Japanese Army (MPAJA) menghalau penjajah Jepun keluar dari negara ini. Namun pihak-pihak ini lupa membaca bab yang selepas Jepun tewas, PKM terus mengganas dan bermaharajalela dengan merampas harta-benda penduduk, menculik dan menyeksa orang kampung yang enggan membantu membekalkan makanan untuk mereka dan membunuh sesiapa sahaja khususnya anggota keselamatan yang dianggap menghalang matlamat perjuangan mereka.

Chin Peng cuba memusnahkan asas demokrasi yang baru terbentuk di Tanah Melayu selepas mencapai kemerdekaan daripada British dan kemudiannya pembentukan Malaysia dengan menakut-nakutkan rakyat yang cintakan keamanan. Semuanya kerana cita-cita mahu menguasai Tanah Melayu.

Mungkin sebab itu apabila Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani pada 1989 antara kerajaan Malaysia dengan PKM, Chin Peng tidak menyertai lebih 300 bekas anggota komunis yang meletak senjata kembali ke tanah air selepas mendapat pengampunan.


Sehingga ke akhir hayatnya Chin Peng tidak pernah memohon maaf kepada rakyat Malaysia. Dan kini sudah terlambat untuk dia mengucapkannya.


Sebelum kita bercakap mengenai perjuangan komunis yang ditafsirkan sebagai pejuang kemerdekaan, adalah lebih baik kita mengetahui sejarah komunis dengan lebih dekat lagi sebelum membuat sebarang andaian.


Pengenalan

Ideologi komunis tiba di Tanah Melayu pada tahun1920-an terutamanya di sekitar tahun 1925. Imigran Cina telah membawa buku-buku dan risalah-risalah mengenai ajaran komunis dan disebarkan di kalangan orang Cina di Tanah Melayu. Hasil dari kegiatan mereka, guru-guru dan murid-murid sekolah Cina telah menubuhkan Liga Belia Komunis di Singapura pada tahun 1926. Sehingga 1927, komunis di Tanah Melayu bergerak di sebalik Parti Kuomintang (KMT) kerana wujudnya kerjasama antara Parti Komunis China (PKC) dan KMT di China. Perpecahan KMT-PKC pada tahun 1927 telah menyebabkan PKC menghantar 5 orang wakilnya ke Tanah Melayu. Mereka telah berjaya menubuhkan Parti Komunis Nanyang di Singapura pada tahun 1927. Agen-agen komintern yang tiba di Tanah Melayu pada tahun 1928 telah mencadangkan supaya Parti Komunis Nanyang disusun semula. Pada 6 April 1930, satu persidangan komunis telah diadakan di Singapura dan hasilnya lahirlah Parti Komunis Malaya (PKM) yang beribu pejabat di Singapura.

1930-1941

PKM telah diarah untuk menyelia gerakan komunis di Thailand dan Indonesia selain menjalankan kegiatannya di Tanah Melayu. PKM telah diletakkan di bawah Biro Komunis Antarabangsa Timur Jauh yang berpusat di Shanghai. Sejak ditubuhkan, PKM terpaksa menjalankan kegiatan mereka secara sulit kerana parti ini diharamkan disebabkan kegiatan anti-British yang dijalankan dianggap mengganggu ketenteraman awam.

Sejak 1930 agen-agen komintern mula dihantar ke Tanah Melayu untuk membantu kegiatan PKM. Pada Jun 1931, seorang agen kanan komintern dari Parsi iaitu Joseph Dacroux telah tiba di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, beliau telah ditangkap tidak lama selepas ketibaannya di Singapura. Penangkapan dan pengakuannya telah mendedahkan maklumat penting mengenai PKM sehingga menyebabkan ramai anggota dan pemimpin termasuk 14 ahli jawatankuasa PKM ditangkap. Peristiwa ini telah melemahkan PKM.

Sejak tahun 1932, kegiatan PKM mulai pulih apabila mereka diarah untuk melatih pemimpin dan anggota baru. Pada 6 Mac 1933 satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM telah diadakan di Singapura untuk merangka perlembagaan PKM. Mesyuarat tersebut telah membuat ketetapan bahawa matlamat utama perjuangan PKM ialah menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya. Sejak itu, mereka menjalankan gerakan aktif, mempengaruhi kesatuan-kesatuan sekerja, sekolah-sekolah Cina dan pertubuhan Cina. Mereka telah berjaya menimbulkan kegelisahan di kalangan pekerja semasa berlakunya kemelesetan ekonomi 1930-an. Bagi melumpuhkan ekonomi dan politik Tanah Melayu supaya PKM mudah merampas kuasa, mereka telah mempengaruhi kesatuan-kesatuan sekerja melakukan permogokan. Akibatnya banyak permogokan berlaku di Tanah Melayu termasuk Singapura pada 1936-1937. Sebagai contoh, satu permogokan besar berlaku di lombong bijih timah Batu Arang, Selangor pada 1937 di mana 6000 pekerja telah berjaya merampas lombong tersebut dari pihak majikan. Berikutan dengan peristiwa permogokan, kerajaan telah mengisytiharkan Banishment Ordinance pada tahun 1937 yang mengharamkan permogokan. Akibatnya ramai pemimpin dan anggota PKM ditangkap kerana melanggar undang-undang tersebut. Mereka ini sama ada dipenjarakan atau dihantar pulang ke China. Peristiwa ini sekali lagi melemahkan PKM.

Apabia Jepun menyerang China pada tahun 1937, PKM memainkan peranan penting dalam membangkitkan perasaan anti-Jepun di kalangan orang Cina di Tanah Melayu. PKM telah menjalankan kutipan derma dan menggalakkan pemuda Cina di Tanah Melayu kembali ke China untuk menentang Jepun. Akibat dari kegiatan mereka, PKM mula mendapat sokongan ramai terutamanya daripada orang-ornag Cina. Buktinya pada tahun 1939, PKM sudah mempunyai anggota berdaftar seramai 37 ribu orang. Semasa Peperangan China-Jepun, PKC telah mengarahkan PKM menghentikan kegiatan anti-British dan bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun. Arahan ini telah menimbulkan perpecahan di kalangan pemimpin dan anggota PKM kerana golongan radikal mahu mengambil kesempatan ini mencapai matlamat menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya. Akibatnya, komintern telah mengarahkan Setiausaha Agong Lai Teik menyatupadukan anggota PKM. Lai Teik telah berjaya meyakinkan mereka bahawa kerjasama dengan British hanya sebagai muslihat dalam usaha untuk mencapai matlamat PKM.


1941-1945

Apabila Jepun menyerang Tanah Melayu sikap orang ramai terutamanya orang Cina terhadap PKM telah berubah. PKM mula mendapat sanjungan dan pengikut yang ramai kerana PKM dianggap sebagai pelindung orang Cina daripada penindasan Jepun. Semasa Jepun menguasai Tanah Melayu, anggota PKM telah melarikan diri ke dalam hutan dan bekerjasama dengan British dengan menyertai Malayan Anti-Japanese Union (MAJU) yang dianjurkan oleh British. Sebelum Tanah Melayu dikuasai oleh Jepun, anggota-anggota PKM yang dipenjarakan oleh British telah dibebaskan oleh British dengan harapan PKM yang anti-Jepun akan bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun. PKM telah menubuhkan pasukan tentera anti-Jepun yang dikenali sebagai Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA). Mereka mendapat latihan dan bantuan seperti makanan, senjata dan perubatan dari Pasukan Berikat. MPAJA juga mengadakan hubungan baik dengan pasukan 136 yang ditubuhkan oleh British. Henry Miller dalam bukunya “The Jungle War in Malaya” menegaskan terdapat kira-kira 200 anggota PKM mendapat latihan dari British sebelum jatuhnya Singapura pada 15 Februari 1942. Semasa pendudukan Jepun, PKM melakukan serangan hendap ke atas tentera Jepun dan menjalankan pengintipan untuk British. Pengalaman yang diterima semasa pendudukan Jepun amat menguntungkan PKM terutamanya ke arah menjayakan matlamat perjuangan mereka.

Apabila Jepun menyerah kalah, anggota PKM keluar dari hutan dan mengambil alih pentadbiran sebelum ketibaan pihak British. Pemerintahan PKM berlangsung selama 2 minggu dan dikenali sebagai “Bintang Tiga”. Mereka telah merayakan kekalahan Jepun sebagai kemenangan mereka dan mendakwa merekalah bertanggungjawab mengalahkan Jepun di Tanah Melayu. Mereka telah merampas senjata tentera Jepun untuk digunakan dalam perjuangan mereka. Seterusnya, mereka telah melakukan kekejaman ke atas orang yang enggan bekerjasama dengan mereka lebih-lebih lagi yang menjadi “tali barut” Jepun. Akibat tindakan PKM, berlakulah pergaduhan di antara kaum Melayu dengan Cina terutamanya di Perak dan Johor selepas pemerintahan Jepun.

Apabila British kembali ke Tanah Melayu, mereka telah mengambil alih pentadbiran dari Bintang Tiga dan MPAJA dibubarkan. Anggota-anggota MPAJA diminta menyerahkan senjata mereka kepada British. Pada 1 Disember 1945, 6800 anggota MPAJA telah menyerahkan senjata mereka dan dibayar sagu hati sebanyak $350 seorang. Walau bagaimanapun, dipercayai masih ramai anggota MPAJA yang tidak menyerahkan senjata kerana mereka tidak yakin dengan dasar British terhadap PKM.


1945-1948

PKM telah menuntut supaya merek diberi hak dalam pentadbiran. Kerana mengenangkan jasa PKM bekerjasama dengan British menentang Jepun, PKM telah diterima sebagai parti yang sah. Sejak itu, PKM mula menubuhkan cawangannya di seluruh Tanah Melayu untuk menambahkan anggotanya. Sejak tahun 1945, PKM berusaha mencapai matlamat menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya melalui perlembagaan. PKM akan menganjurkan “Gerakan Massa” untuk memaksa British memberi Tanah Melayu berkerajaan sendiri dan kemerdekaan. PKM juga menjalankan gerakan secara aktif mempengaruhi parti-parti politik, kesatuan-kesatuan sekerja, pertubuhan Cina dan sekolah Cina. Untuk mendapat sokongan pekerja, PKM telah menubuhkan Kesatuan Buruh Am dan untuk mendapat sokongan belia, PKM menubuhkan Liga Belia Demokratik Baru pada tahun 1946. Bagi menguasai kesatuan sekerja, PKM telah menubuhkan Kesatuan Sekerja Pusat, contohnya, PKM yang menubuhkan Pan-Malayan Federation of Trade Union (PMFTU) telah menguasai semua kesatuan sekerja yang bergabung di bawah PMFTU. Bagi melumpuhkan ekonomi supaya memudahkan PKM merampas kuasa, mereka telah mempengaruhi kesatuan sekerja melakukan permogokan. Akibatnya 300 permogokan telah dipengaruhi oleh PKM telah berlaku di Tanah Melayu dan Singapura pada 1946-1947. Bagi menghadapi permogokan tersebut, British telah melaksanakan undang-undang kesatuan sekerja yang mendorong pemimpin parti politik supaya tidak menjadi pemimpin kesatuan sekerja. Tindakan tersebut telah menghancurkan PMFTU yang dikuasai oleh PKM.

Pada 15 Februari 1946, PKM telah menganjurkan satu perarakan besardi Singapura bagi memperingati kekalahan British di tangan Jepun pada 15 Februari 1942. Tujuannya ialah menjatuhkan maruah British serta menunjukkan kekuatan PKM. Pada 22 Disember 1946, PKM telah menyertai AMCJA bagi menggagalkan penubuhan PTM. Pada 6 Mac 1947, satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM telah diadakan di Singapura bagi mengkaji semula dasar dan taktik PKM. Setiausaha Agong PKM, iaitu Lai Teiktidak menghadirinya dan beliau telah hilang diri bersama-sama wang parti. Akibatnya, pimpinan PKM jatuh ke tangan golongan radikal pimpinan Ong Boon Hua yang lebih dikenali sebagai Chin Peng. Pada 18 dan 19 Februari 1948, satu persidangan komunis telah diadakan di Calcutta, India dan dihadiri oleh perwakilan komunis dari Asia serta Australia. PKM diwakili oleh Lee Soong. Persidangan Calcutta telah membuat ketetapan bahawa pemberontakan bersenjata mesti dijalankan bagi menjayakan matlamat perjuangan komunis.


1948-1954

Berikutan dengan keputusan Calcutta, PKM mula mengubah dasar dan taktiknya sejak tahun 1948. Sejak itu, PKM berusaha untuk mencapai matlamat melalui pemberontakan bersenjata. Langkah ini juga diambil akibat kegagalan PKM untuk mencapai matlamat melalui perlembagaan yang dijalankans sejak tahun 1945. PKM menubuhkan pasukan tentera antu-British yang dikenali sebagai Malayan People Anti British Army (MPABA) yang di bawah pimpinan pengerusi jawatankuasa pusat tentera PKM iaitu Law Yew. Antara pemimpin lain ialah Law Lee dan Yeng Kuow. Kebanyakan anggota MPABA terdiri daripada bekas anggota MPAJA. Bagi menjayakan matlamatnya, PKM akan menggunakan strategi Mao Tze Tung. Mengikut strategi ini, PKM akan menguasai kawasan pedalaman di mana kawalan kerajaan amat lemah. Kawasan ini akan diwujudkan sebagai kawasan bebas daripada kawalan kerajaan. Dari kawasan ini, PKM akan menyerang dan menguasai bandar-bandar di sekitarnya dan seterusnya menyerang dan menguasai seluruh Tanah Melayu. Bagi melumpuhkan ekonomi, PKM mempengaruhi kesatuan sekerja mengadakan permogokan. Akibatnya banyak permogokan berlaku di Tanah Melayu termasuk Singapura pada bulan Mei dan Jun 1948. PKM meneruskan usaha meresapi parti politik, kesatuan sekerja, sekolah Cina dan pertubuhan Cina. Dalam keganasan tersebut, PKM telah berjaya membunuh 3 orang pengurus ladang berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak pada 16 Jun 1948. Berikutan dengan peristiwa itu, kerajaan mengisytiharkan Darurat di seluruh Tanah Melayu pada 17 Jun 1948 dan Undang-undang Darurat dikeluarkan pada 23 Julai 1948 di mana PKM diharamkan. Akibat pengisytiharaan Darurat, anggota PKM melarikan diri ke dalam hutan untuk meneruskan perjuangan. Mereka menyerang pasukan keselamatan dan juga orang awam terutamanya peladang-peladang dan pelombong-pelombong Eropah. Pejabat-pejabat kerajaan terutamanya Balai Polis menjadi sasaran PKM. Mereka memusnahkan sistem hubungan jalan raya dan jalan keretapi. PKM juga menyerang ladang-ladang bijih timah di mana pokok getah dan jentera perlombongan dimusnahkan untuk menyekat pengeluaran bagi melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu. Dalam usaha untuk mendapat bantuan, PKM menubuhkan pasukan propaganda “Min Yuan” yang terdiri daripada setinggan-setinggan Cina yang tinggal di pinggir hutan. Edger O. Balance dalam bukunya “The Communist Insurgent War 1948-1964” menegaskan terdapat antara 30-40 ribu anggota “Min Yuan” pada peringkat awal pemberontakan PKM. Dalam usaha untuk menakutkan orang ramai dan menjejaskan pasukan keselamatan, PKM menjalankan kempen membunuh pegawai tinggi kerajaan. Akibat dari kempen itu, mereka telah berjaya membunuh Pesuruhjaya Tinggi British, Henry Gurney pada 6 Oktober 1951 semasa beliau dalam perjalanan ke Bukit Fraser.

Pada September 1951, satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM diadakan di Pahang untuk mengkaji semula taktik PKM. Apabila menyedari keganasan mereka lakukan menimbulkan kebencian orang ramai terhadap PKM menyebabkan mereka berusaha untuk mengelakkan serangan ke atas orang awam. Sejak September 1951, serangan hanya dilakukan ke atas pasukan keselamatan, orang Eropah, pengintip kerajaan dan bekas anggota PKM yang berpaling tadah. Pada 1950-an, mereka meneruskan usaha meresapi parti politik, kesatuan sekerja, sekolah Cina dan pertubuhan Cina. Menjelang tahun 1954, ternyata perjuangan PKM menemui kegagalan kerana ramai anggotanya dibunuh, ditangkap atau menyerah diri.

Terbunuh: 16 Jun 1953 6304 (1948-1953)
 Jun 1954 9581 (1948-1954)

Tertangkap:  1948 5097
1951 11000
1954 2000

Dihantar pulang:  1950 7000
                            1954 10000



Jika ada yang anggap Parti Komunis Malaya (PKM) dan Setiausaha PKM, Chin Peng sebagai pejuang negara, BACAlah 19 fakta keganasan PKM terhadap rakyat Malaysia.

1. 3 orang peladang Inggeris telah dibunuh di Perak pada 16 Jun 1948. Peristiwa ini telah menyebabkan penjajah British mengisytiharkan darurat.

2. Seramai 18 anggota polis telah terkorban dalam satu serangan mengejut komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada waktu subuh 23 Februari 1950.

3. Sepanjang tahun 1950, seramai 120 anggota polis terbunuh, manakala 222 orang Polis Khas (SC) terkorban akibat kekejaman komunis.

4. Pada 1 Oktober 1951, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Henry Gurney dibunuh dalam satu serang hendap di Bukit Fraser.

5. Pada 17 Jun 1968, segerombolan gerila komunis telah menyerang hendap konvoi pasukan keselamatan Malaysia di Pekan Kroh (Pengkalan Hulu) dan membunuh 17 anggota polis.

6. Seorang ahli UMNO telah dibunuh oleh ejen komunis di Pulau Pinang pada April 1969.

7. Pada 24 Julai 1969, seorang wanita Cina telah dibunuh di Sintok, Kedah kerana didakwa belot kepada perjuangan komunis.

8. Pada 10 Disember 1969, komunis telah meletupkan jambatan keretapi di Kok Mak berdekatan dengan sempadan Padang Besar, Perlis.

9. Komunis telah menyusup masuk ke Padang Besar dan melepaskan 3 das tembakan ke arah balai polis di situ pada 14 Disember 1969.

10. Dalam satu peristiwa pada tahun 1970-an, komunis telah memusnahkan jentera dan peralatan membina jalan yang digunakan untuk membina Lebuhraya Timur-Barat.


Kekejaman komunis terhadap anggota polis Cawangan Khas (SB):

11. Timbalan Penguasa Polis, Wong Lin Hoon telah mati ditembak di Kuala Lumpur pada tahun 1973.

12. Komunis terus mengganas dengan membunuh Ketua Inspektor Chin Chin Kou pada 12 Julai 1973 di Serdang, Kedah. Diikuti 3 bulan kemudian, Detektif Sarjan Chong Kek Oh yang mati ditembak di Sungai, Siput, Perak.

13. Pada 3 Januari 1974, Detektif Konstabel Lee See Kaw telah mati ditembak di Malim Nawar, Perak, diikuti pembunuhan terhadap Detektif Sarjan Lee Yoon Chin pada 20 April 1974 di Melaka. 4 hari kemudian, Detektif Konstabel Ong Soon Chua yg mati ditembak di Chemor, Perak.

14. Pada 6 Jun 1974, komunis bertindak lebih kejam apabila menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abd. Rahman Hashim semasa beliau berada di dalam keretanya di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

15. Komunis telah mengebom Tugu Negara pada 26 Ogos 1975 hingga mengakibatkan kerosakan besar.

16. 2 minggu kemudian, komunis telah melemparkan bom tangan ke arah kem Pasukan Polis Hutan (PPH) yg terletak di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur, membunuh 2 orang anggota dan mencederakan 41 anggota yang lain.

17. Pada 13 November 1975, Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong telah dibunuh di Ipoh semasa berada di dalam kereta. Kejadian tersebut turut meragut nyawa pemandunya Sarjan Yeung Peng Cheong.

18. Antara tahun 1969 hingga 1978, seramai 395 anggota pasukan keselamatan telah terbunuh, manakala 919 yang lain cedera.


19. Seramai 70 orang awam telah terkorban, manakala 75 yang lain tercedera dalam tempoh 1968 hingga 1982.


Serang hendap di Kelian Intan - 10 September 1947

Peristiwa berlaku pada jam 7.30 pagi membabitkan serangan pengganas ke atas sebuah lori dan dua bas yang membawa anggota polis. Tiga anggota polis dan enam orang awam terkorban, manakala dua mata-mata polis serta 12 orang awam cedera parah. Segerombolan pengganas komunis dikatakan melepaskan tembakan bertubi-tubi selama 10 minit, merampas harta penumpang dan mengacukan senapang kepada mereka.

Pembunuhan di Sungai Siput, Perak - 16 Jun 1948

Tragedi ini mengorbankan tiga pengurus ladang berbangsa Eropah iaitu T.G Christian, A.E Walker dan J.M Allison. Pembunuhan ini menggemparkan penduduk tempatan, seterusnya penyebab kepada pengisytiharan Undang-undang Darurat di Perak. Ia adalah pengumuman darurat pertama sebelum ia diperluaskan di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948. Pembunuhan ini disifatkan sebagai kemuncak keganasan komunis yang mula berleluasa sejak tamat Perang Dunia Kedua di negara ini.

Serangan ke atas kampung Jeram Choh, Johor - 18 Jun 1948

Ia dilakukan kira-kira 20 pengganas komunis lengkap bersenjata. Kemuncak kejadian ialah serangan ke atas balai polis yang menyebabkan kerajaan mengalih langkah mengumumkan perintah darurat berkuat-kuasa serta-merta.

Tragedi lombong Batu Arang, Selangor - 12 Julai 1948

Lombong ini ditawan komunis sebagai strategi melumpuhkan ekonomi negara. Ia bukan saja mengakibatkan operasi kilang terhenti, malah seluruh kilang dimusnahkan manakala lima pekerja berbangsa Cina terkorban.

Sabotaj ke atas kuari Sungai Gepai, Tapah, Perak - 19 Januari 1950

Serangan membabitkan kira-kira 20 pengganas itu memusnahkan beberapa kenderaan dan peralatan kuari.

Serang hendap di Seberang Perai - 22 Januari 1950

Serangan ini mengorbankan lapan anggota polis termasuk seorang sarjan Inggeris manakala enam anggota polis Melayu cedera parah.

Serangan di Kampung Simpang Tiga, Setiawan, Perak - 4 Februari 1950

Kira-kira 80 pengganas komunis menyerang dan membakar kampung yang mengakibatkan 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

Peristiwa Bukit Kepong - 23 Februari 1950

150 pengganas komunis yang diketuai Mat Indra menyerang balai polis pada jam 4.30 pagi. Tragedi memilukan ini mengorbankan 23 mangsa membabitkan 13 anggota polis, enam pengawal kampung, tiga wanita dan seorang kanak-kanak.

Serang hendap di Sungai Semur, Kelantan - 25 Mac 1950

Pertempuran antara kira-kira 250 pengganas komunis dengan platun Kompeni D Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja berjumlah 25 orang. Serangan berlaku pada jam 10.30 pagi ketika platun berkenaan menyusuri sungai. Sejumlah 17 orang anggota tentera terbunuh dengan lapan cedera.

Pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney di Batu 56 1/2, Jalan Kuala Kubu Bharu, Bukit Fraser - 6 Oktober 1951

Sir Henry, Pesuruhjaya Tinggi British pada 1948 hingga 1951 diberi tanggungjawab membanteras ancaman komunis di Tanah Melayu. Dia dan isteri ditembak mati ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser dari Kuala Lumpur untuk bercuti.

Serang hendap kereta api, Tampin, Negeri Sembilan - 14 November 1951

Serangan ini mengorbankan empat orang awam, termasuk pemandu kereta api, K Vettivelu. Kejadian berlaku pada waktu malam ketika kereta api berkenaan berada kira-kira sebatu dari Tebong berhampiran Tampin.

Sabotaj dilakukan dengan mengalihkan landasan mengakibatkan kereta api tersasar, manakala sebahagian gerabak terbabas serta tergelincir kira-kira 10 meter ke bawah landasan. Kereta api itu ditembak bertubi-tubi sekali gus mencederakan 20 penumpang. Antara mangsa terselamat, termasuk Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dan isteri serta dua putera baginda.

Pokok getah seluruh Tanah Melayu ditetak (1948 - 1951)


Ia adalah tindak balas pengganas komunis terhadap pemilik ladang yang enggan bekerjasama dengan mereka. Perbuatan menetak pokok juga bertujuan melumpuhkan ekonomi yang ketika itu banyak bergantung kepada hasil pengeluaran getah.

POPULAR ARTIKEL