Hanya kerana
rakyat. Itulah yang boleh digambarkan ke atas pengorbanan calon BN Dr.
Ahmad Sohaimi Lazim yang sanggup meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah kanan
di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semata-mata mahu menabur bakti kepada
masyarakat.
Beliau yang merupakan anak tempatan kelahiran Kampung
Titi Batu itu berkata, beliau mengambil sedikit masa untuk memikirkan tentang
perkara itu kerana 'sayang' mahu meletakkan jawatan namun apabila memikirkan
hasrat mahu berkhidmat untuk rakyat, beliau rela berbuat demikian.
"Wartawan bertanya saya, tidak sayang tinggalkan
jawatan? Lama saya berfikir, namun yang penting saya lebih sayang rakyat dan
mahu berbakti kepada masyarakat di Sungai Limau," katanya berucap dalam
majlis Kami Prihatin anjuran Yayasan Felda di Simpang Tiga, Sungai Limau.
Menurut Dr. Ahmad Sohaimi, beliau bertekad untuk
memajukan Sungai Limau dengan segala pengalaman yang ada dan sokongan kerajaan
BN jika diberi peluang menjadi wakil rakyat kawasan itu.
Katanya, beliau juga mahu menggunakan pendekatan baharu
berpolitik dalam kalangan generasi muda dengan memastikan penyertaan golongan
itu sebagai kelompok pelapis.
Dalam aspek itu katanya, beliau bercadang menubuhkan
Jawatankuasa Permuafakatan Ummah yang disertai golongan profesional dan ahli
akademik.
"Kita mahu mencari jalan untuk meningkatkan
perpaduan dan menjana program ilmuwan kerana masyarakat di sini berpotensi
untuk dimajukan," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pengundi di Sungai Limau
memberi peluang kepadanya selepas 25 tahun mereka berada di bawah wakil rakyat
Pas.
"Beri kepada saya satu penggal, tengok apa kita nak
buat. Andai gagal pulangkan balik (kepada Pas). Setiap undi itu mahal harganya
dan saya akan membalas sokongan itu dengan memajukan Sungai Limau. Fizikal saya
tidak besar tetapi bercita-cita besar," katanya.
No comments:
Post a Comment