Sistem penajaan secara tunai yang telah diterima kerajaan
semasa Festival Hari Belia 2012 sudah cukup menampung pembelanjaan ketiga-tiga
artis Korea Pop (K-Pop) yang bernilai
RM1.6 juta pada tahun lalu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery
Cheek yang juga merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan berkata ketiga-tiga
artis K-Pop yang hadir membuat persembahan konsert pada Festival Belia 2012
pada tahun lalu bernilai RM900,000 jauh lebih murah berbanding harga pasaran.
"Bayaran untuk sekumpulan artis K-Pop tersebut
merupakan bayaran yang lebih murah berbanding harga pasaran sebenar untuk artis
K-Pop memandangkan ketiga-tiga artis K-Pop menganggap pengunjung yang hadir
pada Hari Belia tidak dikenakan bayaran tiket untuk memasuki konsert tersebut.
"Tiga kumpulan (K-Pop) tersebut merupakan yang
paling popular di Korea pada waktu itu dengan meminta sebanyak USD100,000 untuk
satu kumpulan," kepada pemberita ketika membuat sidang media di Lobi
Parlimen selepas memenemui Jawatankuasa
Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi memberi penjelasan berhubung bayaran itu yang
dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012, di bilik jawatankuasa itu
di Parlimen, di sini.
Tambahnya, perbelanjaan sebanyak RM1.6 juta merupakan
perbelanjaan sampingan yang telah dibayar oleh pembekal tempatan.
"Yang disebut sebanyak RM1.6 juta itu merupakan
sampingan seperti cukai, pembayaran hotel.. pengangkutan, keselamatan, makanan
dan sebagainya yang dibayar oleh pembekal tempatan," ujarnya.
Jelasnya,kerajaan hanya mendahului perbelanjaan sebanyak
RM900,000 untuk menempah ketiga-tiga artis berkenaan yang telah dikembalikan
dengan penajaan dari pelbagai bentuk yang telah diterima kembali oleh kerajaan.
"Kerajaan hanya mendahulukan bayaran. Sedangkan kita
mendapat tajaan dari segi tunai pada waktu tersebut akhirnya bernilai RM2.3
juta.
"Bayaran awal yang kita buat sebanyak RM900 ribu
sebenarnya sudah cukup ditampung oleh (penajaan) tunai," katanya.
Menurutnya, kejayaan pada Festival Hari Belia 2012
berjaya menarik pihak penaja dalam perbagai bentuk tajaan yang telah diterima
oleh kerajaan.
"Kita mesti melihat kejayaan hari belia telah
melibatkan penyertaan pihak swasta yang memberikan nilai kira-kira RM26 juta
pada waktu tersebut.
"Ada juga yang memberikan tajaan dari segi 'In Kind'
berupa air, sim kad, t-shirt dan sebagainya yang bernilai RM1.9 juta. Ada juga
yang memberikan secara tunai bernilai RM2.3 juta yang mana ia diberikan secara
beransur-ansur," katanya.
Sebelum itu, PAC melahirkan rasa berpuas hati dengan
penjelasan yang telah diberikan oleh Shabery pada hari ini berhubung
perbelanjaan semasa sambutan Festival Belia Negara 2012.
Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata,
penjelasan pada kali ini mendapati tiada sebarang salah laku atau pelanggaran
prosedur yang telah dibuat oleh Shabery Cheek yang juga merupakan Bekas Menteri
Belia dan Sukan sebelum ini termasuklan konsert tiga kumpulan K-Pop.
"Beliau telah memberikan penjelasan secara
keseluruhan mengenai dasar dan proses hari belia pada tahun lepas dan beliau
juga telah memberikan penjelasan mengenai isu k-pop yang telah menjadi tumpuan
di media.
"Saya rasa jawapan yang telah diberikan oleh beliau
itu telah memuaskan hati jawatankuasa," katanya.