Pendekatan terbaru BN menjelang hari pengundian Isnin ini
telah membuahkan hasil positif dalam membantu kemenangan BN dalam PRK DUN
Sungai Limau.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek bersama kira-kira 100 belia telah menyelami masalah penduduk di
empat buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan
bermotosikal di bawah program ziarah kasih.
Dengan menunggang sendiri motosikal yang dipinjamkan oleh
penduduk kampung tempatan, Ahmad Shabery telah meluangkan masa menziarahi empat
kampung iaitu Kampung Kepala 10, Kampung Ulu Sedaka, Kampung Sungai Lentang dan
Kampung Setia Jaya.
Antara lain mereka mengunjungi rumah Rodiyah Zakaria, 32,
tukang masak di Sekolah Rendah Ulu Sedaka, yang sebahagian daripada rumahnya di
Kampung Ulu Sedaka dekat sini ranap akibat ribut dua tahun lepas.
Sambil menyuarakan rasa terharunya dengan kehadiran
seorang menteri yang datang membawa sumbangan, ibu kepada dua anak kecil
masing-masing berumur dua dan lapan tahun itu memberitahu Bernama dia teruja
kerana masih ada pemimpin yang sudi mengambil berat tentang kesusahan hidupnya.
Dia amat menghargai sumbangan yang diterima daripada
Ahmad Shabery kerana sebelum ini mereka diabaikan begitu sahaja walaupun pernah
cuba meminta bantuan daripada kerajaan negeri namun gagal.
"Kerajaan negeri sebelum ini pun tidak pernah ambil
peduli mengenai kedaifan keluarga saya," katanya.
Di kampung sama, Ahmad Shabery bertemu dengan bapa
tunggal, Mohd Azmi Khalid, 54, yang menghidap sakit saraf lebih 10 tahun.
Mohd Azmi berkata, kesungguhan Ahmad Shabery datang dari
jauh untuk menjenguk keluarganya amat dihargainya.
"Saya sambut dengan tangan terbuka sebagai tuan
rumah," katanya yang menyara keluarga dengan menjual kerepek ubi dan
pisang sejak lima tahun lepas.
Walaupun sakit, Mohd Azmi turut menjaga bapanya yang uzur
berusia 90 tahun, dan anak perempuan tunggalnya yang berusia 27 tahun.
Di Kampung Kepala 10 pula, Ahmad Shabery mengunjungi Mohd
Zaidi Harun, 37, yang hilang deria penglihatan dua tahun lepas setelah terlibat
dalam kemalangan jalan raya.
Bapa kepada dua anak itu berkata: "Sejak kemalangan
saya tiada pendapatan akibat kedua-dua belah mata saya rosak. Hanya isteri saya
menyara keluarga ini dengan menjual kuih dengan pendapatan yang tidak
menentu."
Berbeza dengan pemimpin Pakatan Pembangkang yang kini
terdesak untuk meraih kemenangan telah memanggil Ketua Pembangkang Anwar
Ibrahim dan kedua-dua anak beranak DAP, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng bagi
mengadakan ceramah terakhir sebelum hari pengundian.
No comments:
Post a Comment