Foto: Anggota Pasukan Pertama Rejimen Infantri Fiji
bersama lima mayat komunis yang ditembak mati di Batu Pahat, Johor, pada 18
September 1953.
Dalam memoirnya, ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin
Peng mendakwa yang perjuangannya untuk memerdekakan Tanah Melayu dan
kemudiannya Malaysia adalah atas nama ideologi. Dan dalam usahanya itu, pertumpahan
darah tidak dapat dielakkan.
Dia cuba untuk menulis dan mentafsir semula sejarah dalam
autobiografi itu namun pemilik nama asal Ong Boon Hua ini tidak mungkin dapat mengelabui
mata semua khususnya rakyat Malaysia kerana banyak buku lain seperti The
Communist Struggle in Malaya oleh Gene Z. Hanrahan, Hearts and Minds in
Guerilla Warfare: The Malayan Emergency 1948-1960 oleh Richard Stubbs,
Operation Ginger oleh Yuen Yuet Leng dan Darurat 1948-1960 oleh Ho Hui Ling
serta berpuluh lagi buku dan laporan, yang kesemuanya mendedahkan keganasan
serta kekejaman komunis bukan hanya kepada penjajah British tetapi rakyat
tempatan.
Kekejaman yang menyaksikan nyawa rakyat khususnya pasukan
keselamatan begitu murah di tangan komunis dan ketakutan menjadi makanan harian
ketika itu, tidak mungkin dilupakan oleh mereka yang memahami sejarah.
Dalam kerakusan untuk menjadikan Tanah Melayu dan
kemudiannya Malaysia, sebagai negara komunis, Chin Peng memilih peluru dan
senjata sebagai alat untuk meyakinkan rakyat agar menyokong gelombang merah.
Tempoh Darurat selama 12 tahun sejak 1948 mencatatkan
banyak insiden berdarah yang menyayat hati angkara anggota komunis dan tali
barut mereka. Serang hendap dilakukan tanpa henti dari Kelantan ke Perlis malah
hingga ke Sarawak.
Sejumlah besar harta-benda awam pula menjadi abu apabila
komunis membakar kampung-kampung yang tidak memberi kerjasama kepada mereka.
Melayu, Cina, India, bahkan etnik lain, semuanya menjadi mangsa.
Sesuatu yang pasti, komunis tidak meninggalkan sekelumit
pun catatan manis kepada rakyat negara ini, sebaliknya hanyalah penderitaan dan
sengsara, yang traumanya masih terkesan sehingga kini
Seramai 2,083 anggota keselamatan dan tidak kurang 2,000
orang awam dibunuh manakala lebih 2,500 perajurit lagi cedera malah ada yang
cacat gara-gara komunis durjana. Kekejaman komunis tidak cukup dengan membunuh
malah diceritakan bersikap lebih teruk daripada binatang apabila sanggup
menyeksa termasuk mengorek mata mangsa.
Dosa Chin Peng dan komunis hakikatnya memang terlalu
besar dan tidak terampun!
Walaupun selepas Darurat diisytiharkan tamat pada 31 Ogos
1960, Chin Peng dan PKM terus-terusan melakukan keganasan. Mengalih operasi ke
sempadan Thailand, serang hendap dan siri pembunuhan terus dirancang yang
menyaksikan ramai anggota polis, tentera, renjer dan orang awam menjadi korban
termasuk Timbalan Penguasa Polis, Wong Lim Hoon yang dibunuh pada 18 Januari
1973; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim ditembak mati di dalam
keretanya pada 4 Jun 1974 dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong turut
maut pada 13 November 1975.
Amat memalukan apabila ada kalangan rakyat negara ini
kini yang cuba mengangkat Chin Peng sebagai hero negara. Mereka buta apabila
membaca sejarah separuh jalan.
Benar, komunis bekerjasama dengan British sebagai anggota
Malayan Peoples Anti-Japanese Army (MPAJA) menghalau penjajah Jepun keluar dari
negara ini. Namun pihak-pihak ini lupa membaca bab yang selepas Jepun tewas,
PKM terus mengganas dan bermaharajalela dengan merampas harta-benda penduduk,
menculik dan menyeksa orang kampung yang enggan membantu membekalkan makanan
untuk mereka dan membunuh sesiapa sahaja khususnya anggota keselamatan yang
dianggap menghalang matlamat perjuangan mereka.
Chin Peng cuba memusnahkan asas demokrasi yang baru
terbentuk di Tanah Melayu selepas mencapai kemerdekaan daripada British dan
kemudiannya pembentukan Malaysia dengan menakut-nakutkan rakyat yang cintakan
keamanan. Semuanya kerana cita-cita mahu menguasai Tanah Melayu.
Mungkin sebab itu apabila Perjanjian Damai Hatyai
ditandatangani pada 1989 antara kerajaan Malaysia dengan PKM, Chin Peng tidak
menyertai lebih 300 bekas anggota komunis yang meletak senjata kembali ke tanah
air selepas mendapat pengampunan.
Sehingga ke akhir hayatnya Chin Peng tidak pernah memohon
maaf kepada rakyat Malaysia. Dan kini sudah terlambat untuk dia mengucapkannya.
No comments:
Post a Comment