Bekas tentera, Rosli Adnan Nasution, 54, yang putus
kedua-dua kakinya kerana terpijak jerangkap samar dipasang Parti Komunis Malaya
(PKM) di sempadan Malaysia-Thailand, amat emosi jika disebut nama komunis
ataupun pemimpinnya Chin Peng.
“Mendengar perkataan ‘komunis’ itu pun saya sudah benci,
apa lagi jika pengganas itu (Chin Peng) disemadikan di bumi bertuah ini,”
katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai tindakan
setengah pihak yang masih mendewakan Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan
negara dan menyokong untuk membawa balik abunya ke negara ini.
Setiausaha Agung PKM, Chin Peng, 89, meninggal dunia di
Bangkok, Thailand kerana sakit tua pada Isnin lepas.
Rosli berkata, walaupun beliau tidak terlibat dalam
operasi menentang komunis semasa zaman darurat iaitu dari dari 1948 hingga
1960, kesan-kesan peninggalan kumpulan itu telah menyebabkan beliau cacat.
“Saya antara 400 askar yang cedera akibat terpijak
jerangkap samar,” katanya dan menambah, walaupun keadaan darurat semakin reda
selepas zaman darurat, bagaimanapun ideologi dan ancaman komunis masih
berterusan sehingga boleh nampak semangat mereka yang membara."
Rosli berkata, akibat kejadian itu, beliau kini terpaksa
bergantung kepada sepasang kaki palsu untuk keluar berjalan, dan kerusi roda
untuk bergerak di rumah.
Beliau yang bertugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand
pada 1970-an, bukan sahaja terpaksa meninggalkan keluarga, bahkan pernah tidak
makan beberapa hari kerana terputus bekalan.
Pihak yang cuba menggambarkan Chin Peng dan PKM sebagai
‘pejuang kemerdekaan’ jelas amat keliru dengan wayang yang dimainkan oleh
kedua-duanya, katanya.
Beliau berharap rakyat Malaysia, terutama generasi muda,
tidak mudah terpengaruh dengan fakta yang sengaja diputarbelitkan lebih-lebih
lagi yang menggambarkan Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan.
Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment