Kerajaan Jepun telah melantik bapaku menjadi ketua
kampung Ngor dan kampung-kampung kecil sekitarnya, iaitu Changkat Duku, Tualang
Bengok dan Tanjung Tok Yen. Sebagai ketua kampung bapaku telah dianugerahkan
sebuah lencana tembaga sebesar mata kukuran dan disekelilingnya berbentuk
seperti mata gergaji. Kuasa ketua kampung pada masa itu sama dengan ketua-ketua
kampung pada masa ini.
Manakala Parti Komunis Malaya (PKM) dan Malayan People’s
Anti Japanese Army (MPJA) telah melantik bapaku menjadi ketua orang-orang
Melayu yang menyertai pergerakan mereka. Bapaku dan penduduk-penduduk kampung
terpaksa menjadi seperti ’golok bermata dua’ menyokong kerajaan Jepun dan
menyokong orang-orang dari PKM.
Beberapa orang ahli-ahli Malayan People’s Anti Japanese
Army (MPAJA) dan ahli Jawatankuasa cawangan Parti Komunis Malaya (PKM) daerah
Kuala Kangsar sering datang menemui bapaku di Paya Pak Banun. Mereka telah
mengadakan perjumpaan dengan penduduk-penduduk kampungku dan kampung-kampung
lain.
Di antara keder-keder Parti Komunis Malaya (PKM), Wang
Seng (lelaki Cina, berkelulusan Senior Cambridge) dan bekas wartawan sebuah
surat khabar Inggeris di Singapura. Dia menganut fahaman Marxisme dan
berkiblatkan kepada Komunis China, Baharuddin Tahir atau Baharuddin ’topi
mengkuang’, berasal dari Sumatera, tinggal di Kati. Jadi anggota KMM sebelum
perang dunia Kedua, menyertai gerakan anti-Jepun dan menjadi anggota PKM dan
kader penyusunan massa. Dia sentiasa memakai topi mengkuang, lepasan sekolah
agama Islam di Indonesia.
Seorang guru agama Islam – Mudir Madrasatul Kamaliah,
Kati, Kuala Kangsar, Fakeh Haji Ghazali berasar dari Chemor dekat Ipoh, telah
menjadi mubaligh agama Islam bagi pihak Malayan People’s Anti Jamapenese Army
(MPAJA).
Fakeh Ghazali telah mengeluarkan fatwa, bahawa
orang-orang Melayu dan Islam lebih baik bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya
(PKM) daripada bekerjsama dan menyokong penjajah Jepun dan penjajah Inggeris
yang berkuasa atas orang Melayu dan umat Islam.
”Parti Komunis Malaya (PKM) berjuang menentang penjajah
Jepun dan Inggeris dan membantu orang Melayu memerdekakan tanah air mereka,
tetapi orang Islam jangan sampai merosak akidah kerana bekerjasama dengan pihak
parti komunis,” katanya.
Fakeh Ghazali telah memberi amaran kepada umat Islam,
bahawa komunis menafikan wujud Allah. Fahaman itu amat bahaya kepada umat
Islam, setiap orang Islam yang menganut fahaman komunis menjadi murtad dan kafir.
Menurutnya, penjajah Jepun dan penjajah Inggeris
mengamalkan dasar kapitalisme dan memperhambakan manusia. Mereka boleh
melakukan apa sahaja asalkan boleh menguasai umat Islam
Dua orang perempuan Cina masih muda kader PKM, iaitu Che
Som dan Che Bee telah menjadi penyebar fahaman komunis di kalangan kaum ibu
Melayu di kawasan Kuala Kangsar telah tiga kali datang ke kami.
Mereka telah meminta bapaku, supaya memujuk seorang
perempuan muda yang cantik, isteri orang, di kampung Changkat Duku supaya
menjadi kader PKM seperti mereka. Tetapi bapaku telah menolak pemintaan mereka
itu.
Pada satu hari, dalam satu perjumpaan antara Jawatankuasa
PKM orang-orang kampungku, telah tercetus pertengkaran antara bapaku dengan
beberapa orang ahli Jawatankuasa PKM kawasan Kuala Kangsar dan Hulu Pera.
Pertengkaran itu terjadi setelah bapaku menentang pendapat mereka yang
mengatakan komunisme sama dengan Islam.
”Kalau nak ajak kami masuk komunis, kami tak nak, kami
orang Islam,… kami boleh bekerjasama kerana melawan Jepun,…tapi kalau ajak kami
jadi kafir kami tak boleh,” kata bapaku kepada mereka.
Pertengkaran itu telah dapat diredakan setelah Baharuddin
’topi mengkuang’ menyokong pendapat bapaku. Dia memberitahu, fahaman komunis
tidak boleh diterima oleh orang-orang Islam. Orang-orang Melayu boleh
bekerjasama dengan orang-orang komunis kerana sebab-sebab tertentu, seperti
menentang penjajah. Walau pun pertengkaran itu menjadi reda dan masing-masing
telah faham, tetapi beberapa orang lelaki China telah menyimpan perasaan marah
kepada bapaku.
Sebenarnya di kalangan PKM ada di antara orang-orang Cina
– sama dengan orang-orang China dalam parti-parti politik mereka sekarang, yang
berhasrat hendak menjadikan Tanah Melayu sebuah negara Cina baru atau Cina
seberang laut (nan yang) – negara komunis dan semua orang Melayu menganut
komunis.
Singapura yang dulunya sebuah negeri Melayu, tetapi
kerana cita-cita kalangan orang-orang Cina seperti yang aku utarakan di atas
ini, maka kini pulau itu Temasik itu telah menjadi sebuah republik yang
dikuasai oleh orang-orang China seberang laut.
Sebagai seorang yang telah dewasa dengan pergolakan
politik tanah air dan dunia, aku mendapati penjajah yang dilakukan dengan
senjata dan politik sama bahasanya dengan penjajahan ekonomi seperti yang wujud
di negara kita sekarang ini.
Kejayaan penjajahan ekonomi oleh penghijrah-penghijrah
(immigrants) dalam sesebuah negara, akan menjadikan penduduk-penduduk asal
negara itu lemah dalam semua bidang. Mereka terkapai-kapai ke sana kemari dalam
keadaan ’menang sorak kampung tergadai. Anak-anak muda mereka, walaupun
berpendidikan tinggi, tetapi tidak lebih dari jadi buruh dalam negara sendiri,
sama ada buruh kasar atau pun buruh berkolar putih.
Tiga malam kemudian, kira-kira tujuh orang lelaki China
telah datang ke dangau kami. Mereka telah mengajak bapaku mengikut mereka ke
dalam kebun getah tidak jauh dari belakang dangau kami kerana hendak berunding.
Tetapi apa bila tiba dalam kebun getah itu mereka telah menangkap bapaku dan
mengikatnya pada sebatang pokok getah di situ.
Mereka memberi kata dua kepada bapaku; kalau bapaku
mengaku akan bekerjasama dengan PKM, mereka tidak akan membunuh bapaku, tetapi
kalau bapaku tidak mahu bekerjasama dengan mereka, maka mereka akan
membunuhnya.
Menurut bapaku, setelah dia mengaku akan bekerjasama
dengan PKM dan tidak akan menyebelahi Jepun, maka mereka telah melepaskan
bapaku dan mereka telah meminta maaf kepadanya.
Semenjak dari malam itu, bapaku telah berpura-pura bekerjasama
dengan orang-orang PKM. Secara sulit dia telah berhubung dengan dua orang
sheikh ’Pergerakan Parang Panjang’, iaitu Sheikh Othman di Kampung Baiyan,
Taiping dan Kiyai Salleh, Batu Pahat, Johor.
Kerana bapa dan ibuku mementing pelajaran aku dan adikku,
lebih-lebih lagi kerana di huma kami tiada guru untuk mengajar kami membaca
Quran, maka mereka mengambil keputusan berpindah dari huma itu ke kampung kami.
Setelah kami berpindah ke kampung, tidak ramai orang PKM
yang datang ke rumah kami. Hanya Wang Seng dan Baharuddin topi mengkuang yang
sering datang secara bersembunyi-sembunyi.
Pada tiap-tiap malam gurila-gurila PKM sentiasa
berkeliaran di sekitar kebun getah dan belukar di pinggir kampung kami. Mereka
juga telah menyebarkan surat-surat khabar PKM di kampung kami dan
kampung-kampung lain. Di antara surat-surat khabar dalam bahasa Melayu menggunakan
tulisan Rumi dan Jawi, ialah Bintang Merah, Berita Benar, Suara Rakyat dan
Bintang Timur.
Perigi tempat kami mengambil air mandi terletak di bawah
bukit, kira-kira 300 ela dari rumah kami. Kira-kira seminggu sekali aku
mendapati surat-surat khabar itu diletak di pinggir telaga itu dan ditutup
dengan daun pisang.
Sama ada di rumah datukku mahupun di rumah bapaku tidak
ada tersimpan surat-surat khabar lama. Datuk dan bapaku seperti kebanyakan
orang kampung Melayu di hulu-hulu negeri dan di pendalaman pada masa itu amat
jarang membaca surat khabar.
Pada masa itu hanya surat-surat khabar PKM itu sahaja
yang ada. Media itu telah menjadi bahan bacaanku dan sumber ilmu pengetahuan am
(general knowlege)ku, terutama mengenai media hal ehwal dunia.
Aku masih ingat-ingat lupa, iaitu pada muka dua surat
khabar Bintang Merah ada sebuah artikel tiga kolum. Dalam artikel itu ada
tulisan lebih kurang begini ’…British, Amerika dan mereka yang beragama
Kristian tidak akan henti-henti untuk memusnahkan umat Islam. Mereka
mempengaruhi umat Islam dengan kemewahan hidup, budaya alat mereka yang
berlawanan dengan Islam dan bahasa Inggeris, kerana bahasa itu menjadi bahasa
dunia’.
Walaupun aku masih belajar dalam darjah tiga di sekolah
Melayu, tetapi kerana aku rajin membaca surat khabar Jawi dan buku-buku agama
bertulisan jawi juga, maka aku telah mempunyai pengetahuan am yang agak baik
berbanding dengan murid-murid sedarjah denganku, di sekolah Melayu tempat aku
belajar.
Walaupun aku masih kanak-kanak, tetapi aku telah
mengetahui kerja dan peranan pemberita dan wartawan. Pada usia begitu aku telah
mempunyai cita-cita untuk menjadi wartawan seperti Wang Seng anggota PKM atau
macam abang saudaraku, Abdullah Kuak yang pandai menulis rencana-rencana untuk
majalah-majalah agama di Pulau Pinang dan Singapura.
Aku mulai mengetahui tugas dan peranan wartawan ialah
dari Baharuddin (topi mengkuang) dan Wang Seng. Manakala Wang Seng telah
mengajarku mengenai surat-surat khabar di negara China dan negara-negara lain.
Aku masih ingat akan kata-kata Wang Seng, ”…orang baca
surat khabar dapat banyak ilmu, orang tak baca surat khabar fikirannya jadi
lemah.”
Wang Seng juga orang yang pertama telah mengajar ilmu
kewartawanan kepadaku. Walaupun dia tidak mengajarku bagaiamana menulis berita,
rencana dan sebagainya, tetapi dia telah memberitahu kepadaku, di mana surat
khabar di terbitkan, bagaimana berita-berita, rencana-rencana dan gambar-gambar
didapati oleh surat-surat khabar di seluruh dunia. Dia juga memberitahu,
orang-orang China memandang wartawan sebagai ’Raja yang tidak bermahkota’.
Dengan menggunakan surat khabar ’Bintang Merah’, Wang
Seng telah mengajarku mengenai kepala berita (head line), berita dalam negeri,
berita luar negeri dan beberapa pengetahuan mengenai persurat khabaran.
Wang Seng telah menasihatkan aku, apabila aku telah tamat
belajar nanti, pekerjaan yang baik bagiku ialah bekerja sebagai wartawan.
Katanya, bekeraja sebagai wartawan boleh memusing dan mencorakkan dunia ini.
Menurutnya guru hanya mengajar murid-muridnya di sekolah, tetapi wartawan
mengajar semua manusia, walaupun mereka itu raja, presiden, pegawai kerajaan,
pedagang, buruh kasar atau para petani di kampung-kampung.
Sementara Baharuddin ’topi mengkuang’, telah memberitahu
ramalannya kepada bapa dan ibuku, iaitu apabila aku telah besar dan dewasa
nanti, aku akan menjadi orang yang berilmu pengetahuan dan terkenal atau
tersohor. Manakala adikku, Ghazali, akan menjadi seorang yang berilmu
pengetahuan, tetapai tidak terkenal atau tidak tersohor seperti aku.
Perkataan dan ramal Baharuddin ’topi mengkuang’ itu telah
merangsang semangatku untuk menjadi seorang pemberita atau wartawan. Kerana
cita-cita itulah agaknya, aku telah menjadi seorang kanak-kanak yang rajin
membaca. Ingin mengetahui sesuatu yang wujud di alam ini. Di sekolahku, aku
pernah dimarah oleh dua tiga orang guruku, kerana aku telah banyak bertanya
kepada mereka akan perkara-perkara yang mereka tidak dapat menjawabnya atau
sengaja tidak mahu menjawab.
Aku masih ingat, pada masa itu kebanyakan guru tidak suka
murid-murid mereka lebih pandai dari mereka. Mereka itu masih kuat memegang
pada fahaman ’guru makan garam dulu dari murid’.
Aku sering mendengar dua orang kader PKM itu bercakap
dengan bapaku, bahawa orang-orang komunis yang menentang Jepun bertujuan untuk
membela orang-orang Melayu, membela agama Islam dan menolong mereka menuntut
kemerdekaan. Tetapi, walaupun aku masih kecil, aku tidak percaya kepada
percakapan mereka itu. Aku sering diberitahu oleh Ustaz Mohd. Amin Farid dan Ustaz
Mohd. Khir Nawawi yang mengajar aku mengaji Quran, iaitu orang-orang komunis
tidak percayakan Allah dan musuh agama Islam.
Pada satu hari aku telah terjumpa surat khabar lama,
’Majlis’, dalam peti di rumah datukku. Aku telah membaca surat khabar
bertulisan Jawi itu dengan mengeja atau merangkak-rangkak. Aku telah membaca
dan memahami rencana pengarangnya, iaitu:
’Punca atau ibu komunis itu ialah di tanah Rusia dan dari
sanalah menjalar ke benua China ke India dan juga ke Eropah dan dari situ
menjalar pula ke negeri-negeri Islam seperti, Mesir, Turki, Farsi (Iran), dan
negeri-negeri sekelilingnya akan tetapi benih itu tidak dapat hidup dengan
suburnya di negeri-negeri Islam oleh kerana sangat-sangat berlawanan dengan
agama al Quran – oleh itu Mufti Mesir dengan persetujuan ulama-ulama Azhar
(Universiti al Azhar) memfatwakan bahawa barang siapa yang menerima atau
membenarkan ajaran komunis maka sanya ia telah murtad (keluar dari agama
Islam).
Kita pernah mewartakan 30,000 buah masjid Islam di Russia
telah ditutup oleh kerajaan komunis sama ada dijadikan panggung wayang atau pun
kandang kuda dan jamban dan beberapa banyak pula gereja Kristian telah bernasib
seperti masjid-masjid itu.’
Pada masa itu gerila-gerila PKM dalam kawasan Kuala
Kangsar dan Hulu Perak terdiri dari orang-orang China yang kebanyakan dari
mereka penanam-penanam sayur dan tembakau, halia, sayur-sayuran secara haram di
dalam kawasan-kwasan Hutan Simpan, di sepanjang kaki banjaran Gunung Bintang
Hijau dari daerah Kuala Kangsar hingga ke daerah Grik atau Hulu Perak.
Selain dari mereka itu, terdapat juga guru-guru sekolah
cina, peniaga-peniaga kecil seperti tukang basikal, bengkel kenderaan, tukang
kayu dan buruh ladang getah dan lombong bijih timah.
Manakala dalam kawasan Sungai Siput Utara, Kinta hingga
ke Perak Selatan, Tanjung Maling anggota-anggota PKM dan Malayan People’s Anti
Japanese Army (MPAJA) terdiri dari pemuda dan pemudi China yang bekerja sebagai
buruh ladang getah dan buruh lombong bijih Timah. Dan sedikit dari mereka itu
terdiri dari guru-guru China, peniga dan mereka yang bekerja dengan kerajaan
Inggeris.
Kebanyakan orang-orang China suku Hainam, suku Kong Sai
yang bekerja di Rumah Rehat, hotel dan restoran menjadi ahli PKM. ’Parti
Komunis Malaya telah mengambil peluang menggunakan perasaan anti-Jepun
khususnya di kalangan penduduk-penduduk China. Parti Komunis Malaya telah
menubuhkan Tentera Anti – Jepun Penduduk Tanah Melayu. Keanggotaannya terbuka
kepada semua penduduk Tanah Melayu. Topi yang dipakai oleh Tentera Anti – Jepun
ini mempunyai tiga bintang yang dianggap mewakili orang Melayu, China dan
India. Tentera ini juga lebih dikenali sebagai askar Bintang Tiga. Oleh kerana
semasa pendudukan Jepun, pertubuhan yang teratur dan kuat untuk menentang Jepun
ialah Bintang Tiga yang dikendalikan oleh Parti Komunis, maka ramai orang China,
yang tidak pun bersimpati dengan fahaman komunis, telah menganggotai Bintang
Tiga kerana mereka bencikan Jepun. Jadi, satu lagi kesan pendudukan Jepun yang
penting ialah menguatkan Parti Komunis Malaya.
Usaha Jepun hendak menentang Bintang Tiga membawa kesan
yang buruk. Kebanyakan anggota polis Jepun ialah orang Melayu. Apabila Jepun
hendak menghapuskan Bintang Tiga, orang Melayu yang menjadi polis Jepun diarah
melakukannya. Jadi, sebenarnys pertentangan Jepun dengan Bintang Tiga, telah
merupakan pertikaian orang Melayu dengan orang China kerana dalam pasukan polis
Jepun ramai orang Melayu dan dalam Bintang Tiga kebanyakannya orang China.
Dengan itu hubungan orang Melayu dengan orang China menjadi renggang.’
Sementara hartawan-hartawan China menjadi golok mata gua;
mereka membantu Jepun dan membantu Inggeris. Kata datukku, bahawa orang-orang
China seperti punai dengan pokok jerai, di mana ada buah jerai masak, di
situlah banyak burung punai.
Kerana bapakku ketua kampung, maka semua orang China suku
Kong Sai yang hidup sebagai setinggan atas tanah Hutan Simpan kerajaan telah
’bergantung harap’ kepadanya, terutama untuk menolong mereka supaya tidak
diganggu gugat oleh askar Jepun. Sama ada terpaksa atau secara sukarela, mereka
itu adalah penyokong-penyokong PKM.
Mereka sering membawa kepada ayah dan ibuku ayam Tongsan
dan sayur-sayuran. Aku telah belajar menggatih basikal dengan menggunakan
basikal orang-orang China kebun sayur yang sering datang ke rumahku.
Semenjak pada zaman penjajah Inggeris hingga pada masa
ini, ada di antara orang-orang pendatang di Tanah Melayu atau Malaysia
mempunyai perasaan jujur bergaul dengan orang-orang Melayu, ada yang
perpura-pura bergaul tetapi hati di dalam bermusuhan dan ada pula yang berbaik-
baik dengan orang-orang Melayu dengan berazimatkan ’ anti perkauman’ tetapi
mereka mempunyai tujuan yang tertentu atau ’ada udang di sebalik batu’.
Sekumpulan orang-orang Cina yang kaya raya di Ipoh telah
pergi ke London membuat tuntutan kepada Kerajaan British supaya tidak memberi
kemerdekaan kepada orang-orang Melayu. Sementara itu sebilangan besar
orang-orang Cina di Johor dan Singapura yang menunggu-nunggu masa untuk
menjadikan Singapura sebuah Negara Cina Seberang laut. Mereka telah berhasrat
demikian setelah terbitnya sebuah buku geografi di Negara Cina yang memaparkan
peta Kepulauan Melayu sebahagian dari Negara China.
Amalan-amalan tidak sihat itu masih berlaku dalam
pergaulan hari-hari, politik, sosial, pendidikan dan pernigaaan dan perdagangan
pada masa kini. Maka sama ada pemimpin-pemimpin Melayu nampak atau tidak,
bahawa falsafah ’telunjuk lurus kelingking berkait’ terus wujud dalam masyarakat
’majmuk dan muhibbah’ di negara ini.
Pada masa aku menulis buku ini, aku khuatir negara kita
ini akan berlaku seperti pantun Melayu yang telah ditulis oleh seorang ahli
parti Islam, Hizbul Muslimin pada tahun 1945, penulis dan guru agama, Yahaya
Nasim:
Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput dari padi,
Sini Cina sana Cina,
Malaya jadi pajak judi.
P/S: Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap
Bertongkatkan Paruh, Mokhtar Petah
No comments:
Post a Comment