Ini boleh dijadikan pengajaran kepada rakyat Malaysia
bahawa jangan hanya kerana kepentingan politik semata-mata maka sanggup
menidakkan sejarah negara dengan mengangkat komunis sebagai hero negara dengan
merujuk kepada kejadian tragedis Bukit Kepong.
Jika hendak meraih undi rakyat, janganlah pula sengaja
menidakkan sejarah sehingga sanggup berbohong kepada rakyat. Sejarah tidak
pernah menipu kita sebaliknya kita yang sanggup memutarbelitkan fakta demi
kepentingan peribadi.
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mencetuskan
kontroversi baru apabila menganggap pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4
Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan
dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.
Menurutnya, Muhammad Indera, lelaki Melayu yang
bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar,
bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam
serangan di balai polis itu.
Dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos
lalu, Mohamad turut mendakwa Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak
layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah
pegawai British.
Beliau juga berikrar untuk mengubah semula sejarah
kemerdekaan negara jika pembangkang berjaya merampas Putrajaya kerana
dakwanya, sejarah yang tertulis pada hari ini tidak memaparkan fakta sebenar
selain hanya memihak kepada UMNO.
"Dekat nak merdeka nanti, siarlah cerita mengenai
Bukit Kepong. Bukit Kepong ini, polis yang mati itu polis British. Hat (yang)
serang Bukit Kepong itulah pejuang kemerdekaan yang sebenar, yang serang
Bukit Kepong itu Mat Indra (Muhammad Indera). Dia Melayu tapi semua sejarah
itu ditutup.
"Jins Shamsudin (Tan Sri) buat filem, Jins
Shamsudin itu orang UMNO. Cerita Bukit Kepong (yang dibuat Jins) hat serang
itu pula penjahat, hero yang mempertahan balai polis. Padahal Mat Indera yang
mengetuai operasi itu akhirnya dihukum gantung," katanya dalam ceramah
itu.
Dalam tragedi berdarah Bukit Kepong yang bermula
kira-kira pukul 5 pagi pada 23 Februari 1950, satu persatu anggota
keselamatan dan ahli keluarga mereka gugur selepas diserang dari setiap sudut
oleh 200 pengganas komunis, malah sebahagian daripada mangsa dicampak
hidup-hidup ke dalam api.
Mohamad mendakwa semua sejarah negara adalah bohong
apabila pegawai British diangkat sebagai pejuang kemerdekaan manakala yang
melawan British menjadi penjahat.
"Semua sejarah negara kita bohong, pegawai British
jadi pejuang kemerdekaan, lawan British jadi penjahat. Siapa pegawai British?
Dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman itulah pegawai British. Tapi bila tiba bulan
merdeka hanya mereka yang ditonjolkan. Kalau begitu UMNO seorang sajalah yang
merdeka, betul tidak," tuduhnya.
|
Apakah kita sanggup melihat generasi kita pada masa akan
datang terpengaruh dengan dakyah dan idealogi komunis yang secara jelas
membelakangkan agama dan bangsa Malaysia?
Justeru, sebagai ahli politik yang berfikiran matang dan
menjadi penghormatan oleh rakyat, maka hendaklah berfikiran rasional dan tidak
membohongi rakyat kerana untuk mendapatkan undi.
No comments:
Post a Comment