Pada hari ini ada juga dakwaan yang berani daripada
mereka yang buta sejarah dengan menyatakan kemerdekaan yang diperoleh Tunku Abdul
Rahman pada 31 Ogos 1957 bukan kemerdekaan sepenuhnya dan turut mendakwa jika
bukan disebabkan perjuangan PKM, sukar untuk British memberikan kemerdekaan
kepada Tanah Melayu.
Fakta ini diseleweng untuk menutup perjuangan sia-sia di
hutan oleh PKM. Hakikatnya Tanah Melayu ketika itu mencapai kemerdekaan pada
1957 dan bukan selepas ancaman komunis dihapuskan sepenuhnya pada 1960. Ini
jelas menunjukkan British yakin dengan kepemimpinan Tunku yang dilihat mampu
membawa kestabilan berkekalan kepada Tanah Melayu serta rantau Asia Tenggara
walaupun British ketika itu turut diancam teori domino di Indochina.
Ini membuktikan betapa masalah keganasan komunis bukan
faktor British memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu lebih awal daripada
jangkaan iaitu pada 1960. Mengikut rekod, Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya
Tinggi British yang dilantik oleh Winston Churchill, Perdana Menteri Britain
pada ketika itu diberikan mandat seawal 1952 iaitu menjadi dasar kerajaan
kolonial British bahawa Tanah Melayu diberi kemerdekaan dan hak memerintah
seawal 1960.
Jika bukan disebabkan pengorbanan orang awam menggadaikan
barang kemas dan menderma wang ringgit sendiri, delegasi Tunku Abdul Rahman
tidak cukup dana untuk menghadiri perbincangan Kemerdekaan ke London bersama
wakil MCA dan MIC. Hakikatnya yang lebih jelas pada 28-29 Disember 1955, ketika
rundingan Baling, Setiausaha Agung PKM, Chin Peng ketika itu secara jelas
menyatakan jika kerajaan pimpinan Tunku berjaya mencapai kemerdekaan, PKM tetap
meneruskan perjuangan bersenjata menentang kerajaan Tunku yang dipilih rakyat
kerana dia melihat tiada ruang untuk kerjasama antara parti komunis dan parti
pemerintah (komunis adalah sistem satu parti memerintah).
Ketika rundingan, Tunku berkali-kali menawarkan
pengampunan kepada anggota PKM untuk meletak senjata dan menjadi anggota
masyarakat yang sama-sama membangunkan negara yang bakal merdeka. Peristiwa ini
direkodkan pada hari kedua rundingan dengan Tunku meminta Chin Peng memikirkan
nasib tujuh juta penduduk Tanah Melayu ketika itu yang menerima kesan buruk
akibat perjuangan bersenjata 3,000 pengganas komunis yang aktif di hutan.
Chin Peng sekali lagi menolak tawaran ini berikutan
terlalu taksub dengan kejayaan Parti Komunis di China tanpa mengambil kira
perbezaan politik di Tanah Melayu. Rundingan Baling walaupun gagal, terus kekal
dalam sejarah sebagai bukti cukup jelas pendirian perjuangan komunis yang
sia-sia dan menyimpang daripada perjuangan kemerdekaan; hakikat ini tidak dapat
dipadam sampai bila-bila oleh sesiapa sekalipun. Jika diteliti rekod tulisan
Chin Peng melalui memoirnya, My Side of Story, jelas menunjukkan dia tiada
pendirian berkenaan objektif perjuangan PKM di Tanah Melayu dan lebih
terikut-ikutkan situasi di China di bawah Mao Zedong.
No comments:
Post a Comment