Wednesday, January 15, 2014


Dengan bangganya Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengatakan rakyat dan ramai pemimpin ahli politik tidak faham berkenaan dengan akta Perkhidmatan Air 2006 mengikut Fasal 114 yang didakwanya akan dikenakan Kerajaan Pusat sekiranya Kerajaan Negeri Selangor tidak berhati-hati dalam menandatangi perjanjian air.

"Saya tidak rasa rakyat faham Fasal 114 ini. Malah ramai ahli politik yang tak faham kuasa akta ini.

"Fasal 114 membolehkan kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ambil alih sepenuhnya harta, perniagaan dan perjalanan harian sesuatu pemegang konsesi atas kepentingan negara.

"Ia beri kuasa sepenuhnya kepada Persekutuan dalam hal ehwal pengurusan pembekalan air di Lembah Klang.

Rafizi Ramli berkata demikian apabila merujuk kepada keputusan yang dicapai oleh Kerajaan Selangor dan Kerajaan Pusat berhubung isu pengurusan air di Selangor.

Tegas Rafizi lagi Kerajaan Pusat perlu memberikan jaminan agar tidak menggunakan Akta Perkhidmatan Air 2006 mengikut Fasal 114 secara sesuka hati ke atas rakyat negeri Selangor.

Menurutnya, jika kerajaan menggunakan kuasa di bawah Fasal 114 Akta, seluruh kuasa dan keputusan mengenai pembekalan air di Selangor dan Lembah Klang akan dikuasai Persekutuan sepenuhnya.

Jelasnya, jika pengambilalihan pengurusan air itu diteruskan, Persekutuan perlu memberi komitmen yang ditandatangani secara rasmi dengan kerajaan negeri untuk memastikan hal ehwal kebajikan rakyat Selangor dipertahankan.

"Saya khuatir keadaan ini dimanipulasi untuk menghukum rakyat Selangor dan kenaikan tarif air yang selama ini ditolak oleh kerajaan negeri Selangor akan dilaksanakan," katanya.


Secara jelas Rafizi cuba untuk menjadi hero dalam isu air ini meskipun menyedari tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang cuba melengah-lengahkan Projek Langat 2 sebelum PRU-13 lepas telah menghukum rakyat Selangor yang menghadapi masalah air.

Monday, January 13, 2014


Cadangan wakil rakyat DAP untuk membawa usul meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988 bakal memberi kesan terhadap hubungan parti itu dengan PAS dan PKR yang mengetuai kerajaan negeri, demikian kata seorang ahli akademik.
  
Dr Amini Amir Abdullah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berpendapat perkara itu menjadi ujian terbesar dalam menguji kredibiliti dan pegangan agama wakil rakyat beragama Islam dari Pas dan PKR, sekiranya benar-benar diusulkan pada sidang Dewan Undangan Negeri yang akan datang.
  
Beliau berkata, wakil kedua-dua parti itu tentunya tidak boleh lagi 'bermuka-muka' dalam hal agama demi menjaga 'air muka' DAP kerana sebagai orang Islam, 26 wakil rakyat Melayu Islam, membabitkan 15 dari PAS dan 11 PKR itu tentunya perlu menunjukkan solidariti dalam kewajipannya mempertahankan kesucian agama Islam, khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain.
  
"Tentu sekali cadangan itu bakal menguji hubungan antara DAP-PAS-PKR, selain mengukur sejauh mana kredibiliti orang agama dalam PAS dan PKR di Selangor. Jika usul ubah enakmen itu betul-betul terjadi, malah jika ditambah tiga ADUN PKR bukan beragama Islam, DAP masih perlukan undi daripada ADUN lain bagi membolehkan enakmen itu diubah.
  
"Jadi, di sinilah kesepakatan dan kekuatan politik wakil rakyat PAS dan PKR akan diuji sama ada untuk menyokong atau sebaliknya kerana saya yakin 12 orang wakil Barisan Nasional tentunya akan menolak usul berkenaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Amini Amir mengulas cadangan ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin, Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran dan Adun Kampung Tunku Lau Weng San mencadangkan agar enakmen itu dipinda untuk memastikan hak bukan Islam terjaga.
  
Cadangan itu tercetus dipercayai susulan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sejumlah naskah Bible berbahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah ALLAH dalam serbuan ke atas Persatuan Bible Malaysia di Damansara pada Khamis lepas.
  
Setelah berlarutan sekian lama, isu kalimah ALLAH kembali hangat selepas pengarang majalah mingguan Katolik 'The Herald" Paderi Lawrence Andrew berkeras bahawa gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah ALLAH dalam perhimpunan mingguannya meskipun Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah beberapa kali menitahkan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh mana-mana agama bukan Islam di negeri itu.
  
Amini Amir berkata, walaupun yakin wakil rakyat Pas dan PKR yang beragama Islam akan menolak usul pindaan itu, beliau berpendapat mereka perlu tampil menyatakan sokongan dan menolak secara terbuka cadangan itu supaya wakil DAP segera membatalkan hasrat untuk berbuat demikian.
  
Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia itu berkata tindakan sedemikian mampu memberi isyarat kepada mana-mana pihak bahawa sebarang cubaan untuk mempermainkan perkara yang berkaitan agama Islam akan ditolak, dan kesatuan itu tidak boleh diganggu-gugat walaupun ia boleh memberi kesan sementara kepada hubungan antara parti berkenaan.

Amini Amir juga menasihatkan wakil DAP yang ingin berbuat demikian supaya mengambil kira kedudukan Jawatankuasa Kerja Eksekutif (CEC) parti itu yang sehingga kini belum diiktiraf Pendaftar Pertubuhan (ROS).
  
"Mereka tahu parti itu tidak boleh berfungsi sehingga diiktiraf ROS, malah mereka juga mungkin faham bahawa ketidaksahihan itu boleh menyebabkan hak untuk mengemukakan usul boleh dipertikai anggota dewan yang lain," katanya dan menambah ia boleh menjadi usul haram berdasarkan status CEC itu.  
  
Berhubung kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi semalam bahawa Paderi Andrew tidak perlu memohon maaf atas kenyataannya untuk terus menggunakan kalimah ALLAH, Amini Amir berkata perkara itu perlu bagi meredakan kemarahan orang Islam, dan lebih utama menunjukkan kepatuhan terhadap titah Sultan dan perintah mahkamah.
  
Beliau berkata, Andrew sepatutnya mencontohi tindakan seorang peguam yang membuat permohonan maaf secara terbuka keceluparannya meminta laungan azan sebuah masjid berhampiran kediamannya di kawasan Bukit Kerinchi diperlahankan pada Januari 2011, sekaligus mengelak pertikaian antara kaum dan agama berpanjangan.
  
Akur bahawa dialog berterusan antara agama adalah penting, Amini Amir bagaimanapun mengingatkan bahawa permohonan maaf yang dibuat boleh memberi nilai tambah kepada dialog yang bakal dilangsungkan kelak.
  
"Demi untuk kehamornian, beliau perlu segera memohon maaf kerana jika dialog diteruskan ketika kemarahan satu pihak masih menyala, ia tentunya tidak akan memberikan apa-apa...dialog melibatkan agama memerlukan suasana yang tenang dengan semua pihak mengosongkan fikiran tanpa ada bibit kemarahan," katanya.


Apakah penyokong Islam Pakatan Pembangkang bersetuju dengan tindakan dan kenyataan ADUN DAP berhubung gesaan pindaan meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988.

Sunday, January 12, 2014


Tindakan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim menggugurkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali daripada jawatan Ahli Lembaga Pengarah PKNS boleh disifatkan sebagai ‘balas dendam’ dengan apa yang pernah dilakukan Azmin sebelum ini terhadap Khalid Ibrahim.

Inilah peluang terbaik yang dimiliki Khalid Ibrahim dalam misinya membalas dendam setelah sekian lama dibuli Azmin dalam PKR.

Bagi kebanyakan penganalisis politik melihat situasi Azmin kini seolah-olah ada ‘sesuatu’ yang mencurigakan antara hubungan Azmin dan Khalid.

Ini bukan perkara baru dan sudah lama berlaku sejak perebutan jawatan Menteri Besar Selangor dan perlantikan Azmin ke dalam jawatan Timbalan Presiden PKR.

Laporan media menyebut, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggugurkan Azmin sebagai ahli lembaga pengarah PKNS ekoran persengketaan lama antara keduanya.

Friday, January 10, 2014


Mengelirukan. Itulah yang boleh diperkatakan ke atas tindakan pembuat minuman arak yang meletakkan sijil halal keluaran JAKIM ke atas tin minuman.

Usaha licik ini dilihat sebagai sebahagian cuba untuk merosakkan umat Islam kerana mereka percaya Islam melarang umatnya meminum arak dan disifatkan arak sebagai haram.

Sehubungan itu, JAKIM telah menafikan sekeras-kerasnya memberi perakuan dan sijil logo halal kepada produk atau syarikat yang mengeluarkan minuman keras.

Pengarah Hab Halal jabatan itu Hakimah Mohd Yusoff berkata JAKIM telah membuat laporan polis di Balai Polis Putrajaya hari ini berhubung perkara itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini hari ini bagi mengulas maklumat dan aduan yang diterima daripada orang ramai berkaitan gambar tin minuman bir  tertera logo halal yang disebar melalui media sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp.

"JAKIM dengan ini menegaskan bahawa jabatan ini tidak pernah memberi dan mengeluarkan perakuan serta sijil atau logo halal kepada produk atau syarikat itu.

Bahkan produk lain yang turut dikilangkan di kilang yang sama turut tidak diberikan sijil halal walaupun ia bukan minuman keras," katanya.

Beliau berkata sebarang penyalahgunaan logo halal oleh mana-mana pihak boleh diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan - Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal 2011).

"JAKIM menganggap penyebaran gambar minuman tin berkenaan sebagai berniat jahat dan cuba menjatuhkan imej serta kredibiliti JAKIM sebagai sebuah badan pensijilan halal Malaysia yang berwibawa dan diiktiraf di dalam dan luar negara," kata Hakimah.

Beliau berkata penyebaran gambar itu boleh menimbulkan tanggapan negatif kepada JAKIM dan boleh menyentuh sensitivi agama.

"Justeru itu, JAKIM mengecam tindakan memalsukan logo halal itu, sama ada secara sengaja atau tujuan prokosi kerana perkara ini boleh merosakkan kredibiliti Malaysia sebagai peneraju pensijilian halal dunia dan boleh mencetuskan polemik di kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berharap pengguna tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu di laman sosial yang sengaja dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan menghentikan penyebaran perkara sedemikian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu. 

Thursday, January 9, 2014


Sekarang ini semua rakyat boleh melihat, siapa lagi berkuasa sama ada Kerajaan PKR Selangor atau DAP Selangor?

Desakan DAP Selangor khususnya menerusi 3 orang ADUN DAP Selangor sebelum ini telah membawa kepada pengeluaran dua ‘arahan’ yang mencetuskan kontroversi.

Arahan pertama yang diputuskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini ialah JAIS perlu memulangkan 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah yang dirampas, jika kitab penganut Kristian itu mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Arahan kedua pula ialah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu, di mana JAIS wajib mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Exco-exco kerajaan negeri sebelum sebarang tindakan JAIS yang menyentuh sensitiviti penganut agama lain dilakukan.

Berhubung arahan pertama, Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah memulangkan Bible itu perlu dilakukan jika kesemua kitab yang dirampas mendapat pengesahan KDN selain mematuhi resolusi penyelesaian 10 perkara berkaitan penganut Kristian yang diputuskan oleh kerajaan pusat sebelum ini.

Antara perkara yang terkandung dalam resolusi itu menurut Abdul Khalid ialah membenarkan mengimport, mengguna dan mencetak Bible Bahasa Melayu.

"Sekiranya KDN berpuas hati penerbitan kitab-kitab itu memenuhi resolusi berkenaan, kita akan mengarahkan JAIS untuk memulangkannya semula kepada Persatuan Bible Malaysia," katanya kepada pemberita.

JAIS melakukan serbuan berasaskan peruntukan di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di negeri ini.

Mengulas lanjut arahan tersebut, Abdul Khalid berkata, JAIS bagaimanapun boleh meneruskan siasatan mengenai perkara itu selain menyiasat bagaimana Bible berkenaan boleh berada di premis persatuan terbabit termasuk mendapatkan maklumat jelas sama ada ia diedarkan di negeri ini atau ke negeri lain.

Namun, beliau menyatakan sekiranya kesemua Bible itu hanya disimpan di premis persatuan berkenaan dan tidak digunakan, pihaknya tidak ada masalah mengenai perkara itu.

Berhubung arahan kedua pula, Abdul Khalid berkata, berdasarkan SOP baharu itu JAIS tidak lagi dibenarkan mengambil keputusan sendiri dalam menguatkuasakan peraturan sedia ada khususnya perkara-perkara melibatkan sensitiviti penganut agama lain di negeri ini.

"Ada kalanya (tindakan penguatkuasaan JAIS) tidak memberikan kefahaman kepada masyarakat. Tujuan penguatkuasaan JAIS bukan sahaja untuk mempertahankan Islam tetapi juga perlu menangani kesangsian penganut agama lain.

"Maka, untuk masa depan, sebarang tindakan JAIS (yang menyentuh sensitiviti penganut agama lain) wajib diadakan perbincangan terlebih dahulu di antara jabatan itu dengan MAIS (Majlis Agama Islam) dan Exco-exco kerajaan negeri," ujarnya.


Nampaknya, kenyataan Khalid Ibrahim ini didorong bukan atas kapasiti Menteri Besar, sebaliknya berasaskan kepada tundukan terhadap desakan komponen Pakatan Pembangkang.

Wednesday, January 8, 2014


Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan bahawa Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia (Comango) adalah sebuah gabungan pertubuhan yang tidak berdaftar di bawah Akta  Pertubuhan 1966 (Akta 335).
   
Ketua Setiausahanya, Datuk Mohamad Khalid Shariff berkata pengesahan itu dibuat berikutan semakan rekod oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPP).
   
"Daripada 54 pertubuhan yang menganggotai pertubuhan itu, hanya 15 sahaja yang berdaftar dengan jabatan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
   
Katanya, pertubuhan yang hendak menjalankan aktiviti secara sah perlu berdaftar dengan JPP seperti ditetapkan di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966.
   
"Mana-mana pertubuhan yang tidak memenuhi keperluan Seksyen 7 tersebut boleh diambil tindakan sebagai pertubuhan yang tidak berdaftar dan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen  41(1)(b)," katanya.
   
Mohamad Khalid berkata kebanyakan anggota gabungan itu terdiri daripada pertubuhan bukan berasaskan Islam.
   
"Comango merupakan pertubuhan yang memperjuangkan hak yang menyeleweng daripada agama Islam dan NGO Malaysia itu telah menghantar laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi tujuan Semakan Berkala Sejagat di Geneva setiap empat tahun, katanya.
   
Comango yang merangka kandungan laporan mengenai hak asasi manusia antara lain menuntut hak kebebasan beragama, pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, bisexual, transgender, intersex dan queerperson (LGBTIQ).
   
Mohamad Khalid berkata 15 pertubuhan yang telah berdaftar terdiri dari:

Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower),
Education and Research Association for Consumers Malaysia (Era Consumer),
All Petaling Jaya Selangor Residents Association (Apac),
All Women's Action Society Kuala Lumpur and Selangor (Awam),
Association of Women with Disabilities Malaysia,   
Coalition to Abolish Modern Day Slavery in Asia (Camsa),
Society for Rights of Indigenous People of Sarawak (SCRIPS),
Good Shepherd Welfare Centre,
Malaysian Physicians for Social Responsibility,
Persatuan Masyarakat Selangor dan Kuala Lumpur (Permas),   
Perak Women for Women Society,
Sahabat Wanita Selangor,
Sabah Women's Action-Resource Group (Sawo),
Women's Aid Organisation Malaysia (WAO), dan
Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall.
   
Katanya selebihnya didapati tidak berdaftar termasuk:

Amnesty International Malaysia, Centre For Independent Journalism (CIJ),
Christian Federation Malaysia,
Pusat Komunikasi Selangor (Komas),
Persatuan Guru-Guru Tadika Semenanjung Malaysia (PGGT),
Childline Malaysia, dan
Foreign Spouses Support Group.

Oleh itu, COMANGO bukan sahaja tidak berdaftar, tetapi juga haram kerana bergerak bertentangan dengan Islam dan dilaknat Allah s.w.t.

Tuesday, January 7, 2014


Cadangan tiga wakil rakyat DAP untuk meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988 disifatkan sebagai melampau dan tidak menghormati serta mencabar Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, enakmen tersebut telah diluluskan khusus untuk umat Islam dan tidak mengganggu-gugat agama-agama lain.

Beliau berkata, undang-undang itu juga amat penting bagi memastikan tidak ada pihak daripada agama lain memujuk dan menghasut umat Islam meninggalkan agama suci itu.

"Pada dasarnya enakmen itu ditubuhkan bagi mengawal, menyekat pengembangan dan kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam serta mampu mengekang gejala murtad di negara ini.

"Selain itu, enakmen berkenaan dilaksanakan supaya rakyat menghormati Perlembagaan Negara yang menjadikan agama Islam sebagai agama Persekutuan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan tiga wakil rakyat DAP Selangor yang mahu enakmen tersebut dipinda susulan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah Allah.

Bible tersebut dirampas dalam serbuan di sebuah premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Mohamad Shukri memuji tindakan tegas JAIS yang disifatkan sebagai tepat demi menjaga kesucian agama Islam.

"JAIS hanya menjalankan tugas melaksanakan enakmen sedia ada yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, tidak sepatutnya ada pihak yang mempersoalkan tindakan itu," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri turut menyelar tindakan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew berhubung kenyataannya supaya semua gereja Katolik di Selangor terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan berbahasa Melayu.

Katanya, tindakan itu telah melanggar perintah mahkamah sebelum ini yang membuat keputusan tidak membenarkan majalah mingguan, The Herald, menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan majalah berkenaan.

"Paderi ini juga telah menderhaka terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum ini menitahkan semua rakyat khasnya di negeri itu tanpa mengira kaum serta latar belakang agama akur dan patuh kepada larangan pengunaan kalimah Allah bagi mereka yang bukan beragama Islam.

"Tindakan seperti ini tidak lebih daripada mengapi-apikan rakyat untuk mencetuskan ketegangan," katanya.


Sumber: Utusan Malaysia, 7 Januari 2014 


Mufti Perak telah mengeluarkan kenyataan bersifat ‘mengganggu’ peserta dan penganjur Himpunan Guling Kerajaan pada 31 Disember lepas apabila mengeluarkan kenyataan berkaitan ‘Bughah’ dan ‘Halal Darah’.

Mana tidaknya, lihatlah bagaimana keadaan Himpunan Guling Kerajaan pada malam sambutan tahun baharu 2014 sehingga mengganggu majlis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Dataran Merdeka dan mencederakan beberapa anggota polis yang mengawal.

Biarpun banyak laporan polis dibuat di seluruh Malaysia, namun penganjur Himpunan Guling Kerajaan itu angkuh dan sombong dengan tidak mempedulikan suara majoriti rakyat Malaysia yang mahukan himpunan itu dihentikan.

Susulan daripada kenyataan itu, pihak-pihak yang terasa seperti pemimpin PAS (kononnya alim) dan pemimpin PKR telah merungut dan menggelabah serta mempersoalkan kenyataan Mufti Perak itu.

Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan kenyataan Mufti Perak itu, bersama ini disertakan kenyataan rasmi Mufti Perak berhubung isu ‘Bughah’ dan ‘Halal Darah’.


KENYATAAN RASMI S.S. MUFTI KERAJAAN NEGERI PERAK BERKAITAN ISU “ BUGHAH ” DAN “ HALAL DARAH ”

Merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian dan portal Malaysiakini bertarikh 2 Januari 2014 yang menyatakan di halaman utama bahawa Perhimpunan Haram Di Dataran Merdeka “Penderhaka”, peserta perhimpunan sebagai “Bughah” iaitu penderhaka terhadap pemerintah adil. Sementara di halaman 10 akhbar Berita Harian ditulis pernyataan “sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari Hukum Syarak dihalalkan golongan bughah”. Akhbar Sinar Harian bertarikh 5 Januari 2014 di halaman utama dan kedua juga sarat dengan pandangan saya berkenaan isu “Bughah” dan demonstrasi.

Kenyataan-kenyataan tersebut telah diterbitkan menerusi media arus perdana dan dikatakan menjadi polemik dan kecelaruan kepada masyarakat. Pada dasarnya, ia adalah kenyataan daripada saya apabila ditemu bual oleh wartawan akhbar Berita Harian dan Sinar Harian namun, kenyataan panjang saya kepada Berita Harian berhubung perkara tersebut dipendekkan malah difokuskan hanya kepada isu demonstrasi “ TURUN” sahaja. Sedangkan terdapat isu lain termasuk penganjuran Konsert di Ambang Tahun Baru “ditiadakan” sebagai bahan berita.

Diizinkan Allah saya dapat menatap isu dan berita perihal demonstrasi setiap kali ianya dianjurkan oleh pelbagai pihak di Malaysia. Setiap kali penganjuran demonstrasi dilaksanakan, maka saya akan dihubungi untuk memberi ulasan terhadapnya. Apa yang menggusarkan saya ialah apabila berlakunya demonstrasi dalam skala yang besar di negara ini maka, majoriti para pesertanya adalah orang Melayu yang beragama Islam. Maka, secara jelasnya akan berlaku pertembungan antara dua pihak yang mana kedua-duanya merupakan warga Muslim. Jika berlaku pertembungan tersebut sudah tentu ia akan menghasilkan kemudaratan ke atas pihak-pihak, di samping akan menguntungkan mereka yang berkepentingan dan yang menangguk di air yang keruh.

Nasihat dan Peringatan

Oleh yang demikian, selagi diberi amanah saya tidak akan berputus asa untuk menegur dan mendamaikan kedua-dua kumpulan yang merupakan saudara- saudara saya. Sudah tentu ayat al Quran surah Al Hujurat ayat 9 menjadi panduan yang bermaksud :

“…Dan jika dua puak dari orang-orang beriman berselisihan, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya bersifat melampau (zalim), maka lawanlah puak yang melampau (zalim) itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil…” .

Sebab penurunan ayat ini dengan satu riwayat daripadanya ialah perbalahan yang ditimbulkan oleh Abdullah bin Ubai yang menyemarakkan perbalahan dengan mengatakan bahawa kencing himar Rasulullah ketika Baginda SAW menziarahi Sa’ad bin Ubadah telah menyakiti beliau.

Dalam riwayat yang lain pula merekodkan perbalahan itu berlaku sesama golongan ansar.(tafsir Ibn Juza)

Saya berpandangan bahawa syarat “syaukah” yang sering dikaitkan dengan bughah masih dijadikan perbahasan seperti yang terkandung dalam kitab-kitab feqh contohnya kitab nihayatul Muhtaj.

Dalam kes Abu Bakar al Siddiq memerangi orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat juga memberi gambaran kepada kita bahawa tindakan memerangi mereka juga diambil walaupun golongan ini tidak mempunyai senjata namun ia di dokong oleh sekumpulan manusia yang mempunyai bilangan ramai dan munasabah mencetuskan suasana tidak aman kepada pemerintahan.

Pembentukan negara kita berasaskan sistem demokrasi berparlimen. Rakyat diberi hak untuk menentukan pemimpin yang mereka kehendaki berdasarkan sistem pilihan raya. Oleh itu, adalah tidak wajar sama sekali rakyat dihasut untuk mencari mekanisme yang lain bagi menyatakan ketidakpuasan hati kerana negara ini mempunyai instrumen yang diakui untuk menyampai hasrat rakyat seperti parlimen, Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri ataupun mahkamah. Tanpa menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman sepertimana yang dilaungkan namun, rantaian demonstrasi yang telah berlaku mencatatkan sebaliknya. Telah timbul kebimbangan kepada rakyat di sekitarnya kerana kemudaratan lebih terhasil daripada manfaat.

Larangan Memberontak

Saya menekuni hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya akan timbul selepas aku sifat pentingkan diri (daripada pemimpin-pemimpin kamu) dan perkara-perkara yang kamu ingkar”. Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah! Apakah yang engkau perintahkan kepada kami? Jawab Baginda SAW “ Kamu hendaklah menunaikan hak yang diwajibkan ke atas kamu dan mintalah hak kamu daripada Allah ”.

Imam Al Nawawi menyatakan bahawa terdapat dorongan di dalam hadis ini untuk dengar dan taat sekalipun pemerintah adalah zalim. Sebagai rakyat, seseorang itu perlu memberikan hak pemimpin iaitu ketaatan dan tidak memberontak, bahkan dia perlu merendahkan diri kepada Allah dalam usaha menghapuskan kemudaratan pemimpin, menolak kejahatannya dan berusaha untuk membaikinya. Ini bertepatan dengan saranan Nabi Nabi SAW bahawa cara teguran terbaik adalah secara bersemuka

“Se afdhal-afdhal jihad ialah memperkatakan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim” (HR Abu Daud)

Antara adab penting yang wajib diambil kira dalam menasihati pemimpin ialah member nasihat secara sembunyi, bukan secara terang-terangan berdasarkan hadith:

“Sesiapa yang ingin menasihati pemerintah berkenaan sesuatu urusan maka janganlah dizahirkan secara terang-terangan tetapi hendaklah memimpin tangannya ke tempat yang sunyi sekiranya dia menerima nasihat maka niatnya telah tercapai tetapi sekiranya ia enggan menerima nasihat maka sesungguhnya orang yang memberi nasihat telah pun melaksanakan tugasnya .(HR Imam Ahmad)

Imam Ibnu Hajar Al Asqolani merakamkan dalam kitab Fathul Bari bahawa “para Fuqaha telah sepakat atas kewajiban untuk mentaati pemimpin yang berkuasa dan untuk berjihad bersamanya. Ketaatan kepadanya lebih baik daripada memberontak kerana dapat mengelak daripada tercetusnya pertumpahan darah dan memberi ketenangan kepada orang ramai”.

Belum pun ditinjau dari sudut istilah syara’, perkataan bagha dari sudut bahasa sudah pun membawa maksud kerosakan, melampaui batas, hasad dan kezaliman. (Maqayis lughah, Mukhtar al Sihah dan lisan al arab). Laporan Berita Harian hanya melaporkan pandangan saya tentang kerisauan saya tentang kesan bagha para penunjuk perasaan walhal saya juga membuat teguran yang sama kepada perbuatan bagha penganjur pesta maksiat sempena sambutan awal tahun.

Jika dikatakan demonstrasi adalah cara terbaik untuk menggerakkan kerajaan yang lalai, maka saya fikir itu bukanlah cara yang bersesuaian kerana saya tidak rela dengan apa yang berlaku di Mesir di mana kerajaan yang sah digulingkan secara kekerasan berpunca daripada demonstrasi yang menyebabkan ribuan nyawa terkorban. Apa yang merisaukan saya adalah sekiranya demonstrasi ini menjadi tindakan biasa dan jalan pintas terhadap sebarang ketidakpuasan hati segelintir rakyat. Maka, keamanan dan kestabilan ekonomi, politik dan masyarakat tidak akan berlaku. Seperti dimaklumi, mekanisme menurunkan kerajaan secara aman telah disediakan secara terhormat dan demokratik serta telah terbukti mampu dibuat secara aman damai. Buktinya ialah terbahaginya negeri-negeri di Malaysia ini di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Pembangkang.

Kerisauan saya ini saya zahirkan dengan mengulangi ketetapan para ulama yang menggambarkan betapa usaha menjatuhkan kerajaan yang sah secara kekerasan itu sangat bahaya kepada kesatuan ummah bahawa golongan bughah ini boleh diperangi setelah diajak berdamai seperti direkodkan dalam pelbagai kitab termasuk al fatawa al kubra karangan Ibn Taimiyyah.

Semoga tanah air kita terselamat daripada golongan ini dan menyelamatkan kita semua.

Saya menyeru semua umat Islam berhati-hati dari terjebak menjadi ‘ayam laga’ kepada pihak-pihak yang berkepentingan melalui perkakas-perkakas media dan sebagainya kerana mereka sangat iri hati jika umat Islam bersatu dan bersepakat. Ingatlah pesanan dan ancaman Rasulullah SAW :

Jika datang kepada kamu sekumpulan manusia dengan seorang pemimpin yang bertujuan untuk merobek kekuatan kamu dan memecahbelahkan Jemaah kamu maka bunuhlah ia. (Hadith Riwayat Muslim)

Hadith ini sebagai peringatan serius Nabi SAW agar dikekalkan penyatuan ummah dan segala usaha memecah belah umat patut ditangani secara tegas dan tuntas.


Kesimpulannya, sekiranya berlaku percanggahan pandangan terhadap isu ini, ianya merupakan pemahaman dan penelitian saya terhadap isu dan kaitannya dengan realiti semasa di Negara ini. Saya tiada niat lain kecuali mencari redha Allah dan melihat perpaduan umat Islam terus terpelihara khususnya dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa.

Monday, January 6, 2014


Datang ke gereja Our Lady of Lourdes di Klang bertujuan menyokong penggunaan Kalimah Allah atas sebagai Ahli Lembaga Sisters in Islam (SIS) telah mencetuskan kontroversi terbaru.

Anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir itu sememangnya diakui mempunyai fahaman agama Islam yang liberal dan pernah terlibat dalam beberapa perhimpunan haram dan merupakan penyokong hebat kepada S. Ambiga.

Kehadiran Marina sambil membawa bunga dan berdiri bersama-sama penganut Kristian lain di hadapan gereja tersebut yang ketika itu melakukan ritual keagamaan sebagai tanda solidariti.

Bertitik tolak daripada serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Persatuan Bible Malaysia, Marina menjelaskan dirinya kesal dengan tindakan itu.

"Saya di sini atas nama peribadi, ramai di sini adalah Muslim tetapi apa yang kami mahu katakan adalah Islam agama keamanan. Kami bukan pencetus peperangan seperti sangkaan sesetengah pihak," katanya sebagaimana dipetik daripada The Malaysian Insider hari ini.


Portal itu seterusnya melaporkan, Marina bersama seorang rakannya, Nik Elin kemudian pergi menemui penganut Kristian di gereja tersebut dan memberikan jambangan bunga untuk mereka menyebabkan beliau diberi sorakan oleh orang ramai.


Serbuan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Persatuan Bible Malaysia di Selangor dan merampas bible yang mempunyai kalimah Allah dalam versi Melayu dan Iban telah mengeruhkan lagi sensitiviti agama di Malaysia.

Pada hakikatnya, mahkamah telah memutuskan bahawa kalimah Allah tidak dibenarkan digunakan dalam bible versi Melayu di Semenanjung Malaysia kecuali Sabah dan Sarawak.

Begitu pun, Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew yang berkeras supaya gereja Katolik di Selangor menggunakan kalimah Allah dan bahasa Melayu dalam perhimpunan mingguan mereka.

Ini secara langsung telah melanggar keputusan mahkamah seperti mana yang telah dipersetujui kedua-dua pihak dan akur akan keputusan mahkamah.

Semua pihak termasuk ahli politik perlu sama-sama mempertahankan hak yang termaktub dalam Perlembagaan dan tidak sewenang-wenangnya bersetuju jika ditukar.

Malah tidak boleh wujud elemen double standard kerana ingin menjaga kepentingan sesetengah pihak hingga melupakan undang-undang yang sepatutnya dipertahankan.

Ini adalah asas dalam prinsip kenegaraan iaitu menghormati undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Ini yang perlu didukung sebagai rakyat, apatah lagi pemimpin politik.


Jika nak pertahankan apa juga anutan agama tidak menjadi masalah. Tidak pernah lagi kerajaan menghalang anutan mana-mana agama lain untuk mempraktikkan seperti mana dalam perlembagaan.


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membidas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendakwa SPRM tidak mengambil tindakan berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Dakwaan itu sama sekali tidak benar dan tidak berasas sama sekali sebaliknya meminta Lim Guan Eng meneliti laporan tahunan suruhanjaya itu serta Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang dikeluarkan sebelum ini.

"Kedua-dua dokumen itu turut memperincikan tindakan yang telah diambil oleh SPRM ke atas isu-isu berkaitan Laporan Audit Negara. Kenyataan SPRM, laporan tahunan SPRM serta JKMR yang dianggotai ahli-ahli Parlimen sendiri menunjukkan SPRM telah mengambil tindakan wajar secara bebas, telus dan profesional terhadap laporan audit berkenaan.

"Sekurang-kurangnya 15 perkara yang dibangkitkan dalam Laporan Audit Negara 2012 telah pun dibuka kertas siasatan dan sedang disiasat. Tindakan yang diambil, sama ada tuduhan di mahkamah atau khidmat nasihat dimaklumkan kepada JKMR dan Panel Penilaian Operasi (PPO) dari masa ke semasa," kata kenyataan itu.

Guan Eng sebelum ini mendakwa tiada tindakan diambil SPRM dalam isu dakwaan pembaziran wang rakyat melibatkan kerajaan BN seperti dibentangkan pada Laporan Audit Negara 2012.

Kenyataan SPRM itu seterusnya menegaskan, JKMR, badan bebas yang memantau SPRM sejak 2009 turut dianggotai wakil DAP iaitu Dr. Tan Seng Giaw dan Lim Guan Eng boleh merujuk kepadanya jika memerlukan maklumat lanjut mengenai status kes dan tindakan diambil suruhanjaya itu terhadap laporan audit berkenaan.

"SPRM ingin menegaskan bahawa kita menjalankan siasatan secara bebas, telus dan profesional mengikut Akta SPRM 2009 dan tidak bertanggungjawab terhadap laporan media yang memetik sumber dan tidak berasas," kata kenyataan berkenaan.


Secara jelas, Lim Guan Eng cuba untuk mencemar kredibiliti SPRM yang sememangnya telah mencapai standard antarabangsa dan diakui beberapa negara maju di dunia. 

POPULAR ARTIKEL